Isnin, 4 Februari 2013

PKNS akur keputusan FAM


"BERJAYA mendapatkan pemain bintang seperti Muhammad Nazmi Faiz Mansor juga sudah cukup menggembirakan kami, seolah-olah 'bulan jatuh ke riba'.

"Jadi, kami menghormati keputusan FAM dan akan menunggu sehingga April depan."

Demikian kata pengurus pasukan Selangor PKNS, Azmi Adnan selepas rayuan mereka kepada Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) untuk membenarkan Nazmi beraksi pada 16 Februari ini, ditolak badan induk bola sepak negara itu semalam.

Azmi memberitahu, Nazmi akan kekal menjalani latihan bersama pemain Selangor PKNS yang lain bagi mengekalkan prestasinya.

Buat masa ini katanya, pihaknya akan merujuk kepada FAM bagi menyelesaikan isu sijil perpindahan antarabangsa (ITC) Nazmi bersama S.C. Beira-Mar.

"Segala urusan termasuk ujian perubatan juga akan dilakukan oleh pihak kami sebelum pendaftaran pemain dibuka semula April depan.

"Kami tidak rugi apa-apa biarpun Nazmi hanya boleh beraksi dua bulan lagi, yang paling penting kariernya tidak terjejas," katanya.

Azmi memberitahu, Nazmi mungkin memperkuatkan Selangor PKNS dalam aksi persahabatan menentang Johor di gelanggang lawan pada Jumaat ini tetapi ia terpulang kepada percaturan jurulatih, Abdul Rahman Ibrahim.

"Saya harap peminat dan penyokong Nazmi dapat hadir beramai-ramai memberikan sokongan kepada Selangor PKNS selepas ini.

"Dia pemain muda yang berbakat dan mempunyai masa depan yang cerah. Saya percaya kehadirannya dapat membantu kami merealisasikan sasaran menempatkan diri dalam kelompok lima pasukan terbaik dalam saingan Liga Super musim ini," katanya.

Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my

Tiada ulasan:

Catat Ulasan