Isnin, 11 Februari 2013

Harimau Muda kembali 'bertugas'



SKUAD Harimau Muda akan kembali menjalani latihan di padang Wisma FAM hari ini.


CUTI pemain Harimau Muda sudah habis.

Tidak memiliki tempoh rehat yang panjang selepas tamat 'berguru' di Australia baru-baru ini, anak-anak buah Ong Kim Swee sebaliknya dijangka kembali menjalani latihan di Wisma FAM petang ini.
Ia bagi membentuk skuad yang benar-benar mantap menjelang pertemuan menentang Myanmar dalam satu aksi persahabatan di Yangon pada 22 Februari ini.

Begitupun, mereka dilihat terpaksa 'berdikari' terlebih dahulu ekoran Kim Swee hanya akan menyertai mereka selewat-lewatnya Sabtu ini kerana masih bercuti bersempena sambutan Tahun Baru Cina.
"Pemain Harimau Muda dijangka kembali menjalani latihan di Wisma FAM pada Selasa (hari ini) bagi memastikan prestasi mereka kekal cergas.

"Biarpun saya hanya kembali mengendalikan latihan selewat-lewatnya Sabtu ini, saya percaya pemain saya kini semakin matang seperti mana yang dipamerkan mereka ketika jelajah Australia baru-baru ini," kata Kim Swee kepada Kosmo! kelmarin.

Aksi persahabatan itu merupakan sebahagian daripada perancangan awal Kim Swee membantu Harimau Muda mempertahankan emas temasya Sukan SEA di bumi Myanmar pada penghujung tahun ini.
Begitupun, rekod pertemuan terakhir kedua-dua pasukan tidak berpihak kepada Harimau Muda yang tewas 1-2 dalam aksi kelayakan Piala AFC Bawah 22 Tahun pada Julai tahun lalu.
Ia juga diselubungi kontroversi ekoran Myanmar didakwa menyenaraikan pemain melebihi usia pada kempen kelayakan itu.

Enggan berterusan meratap kedukaan silam, Kim Swee mahu anak-anak buahnya memberikan yang terbaik ketika berdepan Myanmar nanti meskipun ia sekadar perlawanan persahabatan.
"Aksi berdepan Myanmar cukup penting kerana ia merupakan sebahagian daripada perancangan awal mempertahankan emas temasya Sukan SEA.

"Biarpun hanya satu perlawanan persahabatan, ia mampu membantu saya melakukan penilaian terbaik bagi membentuk pasukan yang mantap," kata Kim Swee.

Pada masa sama, Kim Swee juga membayangkan mengekalkan skuad yang sama ketika berkelana ke Australia tempoh hari bagi berdepan Myanmar nanti.

"Saingan Liga M (Liga Malaysia) kembali berlangsung ketika itu, jadi saya tidak mahu mengganggu persiapan mana-mana pasukan.

"Jadi, berkemungkinan besar saya akan membawa skuad yang sama ke Australia ketika berdepan Myanmar nanti," katanya.

Selepas berdepan Myanmar, Harimau Muda dijangka berkelana ke Slovakia selama lima bulan bermula 15 Mac depan dan dijadualkan mengadakan sekurang-kurangnya 15 perlawanan persahabatan sepanjang berada di sana sebelum kembali ke tanah air pada Hari Raya Aidilfitri.

Mereka juga dijangka menyertai dua kejohanan jemputan iaitu Pestabola Merdeka dan Piala Thanh Nien di Vietnam pada Ogos dan Oktober depan sebelum memulakan misi sebenar mempertahankan emas Sukan SEA di Myanmar penghujung tahun ini.

Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my

Tiada ulasan:

Catat Ulasan