RUSTENBURG, Afrika Selatan - Nigeria berjaya menewaskan pasukan
pilihan, Ivory Coast 2-1 dalam persaingan sengit peringkat suku akhir
Piala Negara-Negara Afrika awal pagi semalam, sekali gus menempah
pertemuan dengan Mali dalam aksi separuh akhir.
Sunday Mba muncul wira apabila meledak jaringan kemenangan The Super Eagles ketika perlawanan berbaki 12 minit.
Sebelum itu, Cheik Tiote menyamakan kedudukan 1-1 buat Ivory Coast selepas Emmanuel Emenike menjaringkan gol pembukaan Nigeria.
Jaringan Mba itu juga menjadi penamat kepada karier penyerang veteran
Ivory Coast, Didier Drogba dalam kempen Piala Negara-Negara Afrika.
"Saya mahu bersyukur kepada Tuhan atas kejayaan manis ini dan sudah
pasti saya berterima kasih kepada pemain saya atas segala yang mereka
lakukan hari ini (kelmarin)," kata jurulatih Nigeria, Stephen Keshi.
"Saya harap kami dapat meneruskannya sehingga ke final. Ivory Coast
sebuah pasukan yang handal di benua ini (Afrika), jadi kami cuba bermain
pantas dan mengekang pergerakan Drogba dan Yaya Toure.
"Ketika Ivory Coast berjaya menyamakan kedudukan, kami cuba bertahan
dan menggunakan taktik kami, akhirnya kami berjaya menjaringkan satu
gol. Sunday (Mba) menjaringkan gol yang sangat cantik."
Drogba, 34, yang memanaskan bangku simpanan pada aksi kedua peringkat kumpulan, mengetuai jentera serangan skuad The Elephant itu setelah ketiadaan penyerang kelab Anzhi Makhachkala, Lacina Traore.
Penjaga gol, Boubacar Barry, perancang Manchester City, Toure dan
penyerang yang meningkat naik, Gervinho turut beraksi selepas direhatkan
pada pertemuan dengan Algeria.
Nigeria pula turun tanpa perancang, Fedor Ogude yang digantung
perlawanan dan penjaga gol, Vincent Enyeama diberi tugas sebagai kapten
selepas pertahanan veteran, Jospeh Yobo masih bergelut dengan
kecederaan. - AFP
Tiada ulasan:
Catat Ulasan