Ahad, 10 Februari 2013

Hatrik Ronaldo amaran terbaharu buat United



GAYA berbeza Ronaldo ketika meraikan jaringan pertama dan keduanya ketika menentang Sevilla, semalam. Real menang 4-1.


MADRID - Cristiano Ronaldo melaungkan amaran awal kepada bekas kelabnya, Manchester United menjelang pertemuan Liga Juara-Juara minggu ini dengan meledakkan hatrik ketika Real Madrid menewaskan Sevilla 4-1 dalam aksi Liga Sepanyol awal pagi semalam.

Pertemuan dengan Sevilla di Santiago Bernabeu itu jelas menjadi pemanas badan buat Ronaldo yang menambah jaringan pembukaan Karim Benzema pada minit ke-18 dengan tiga golnya pada minit ke-26, 46 dan 59.

Gol itu juga menambah koleksi hatrik penyerang Portugal itu kepada jumlah 20 bersama kelab gergasi Sepanyol tersebut dan jurulatih Jose Mourinho merehatkannya pada minit ke-63 sebagai persiapan menghadapi United dalam peringkat kalah mati kempen Eropah awal pagi Khamis ini.

"Cristiano telah lama menjadi pemain kegemaran bagi peminat Real Madrid," kata pembantu jurulatih, Aitor Karanka.

"Namun, apa yang penting bagi pasukan ini ialah kami mempunyai pemain seperti Ronaldo yang dalam prestasi terbaiknya ketika kami bakal berdepan jadual penting dalam Liga Sepanyol mahu pun kempen Eropah."

Mourinho mengambil peluang untuk merehatkan beberapa pemain utamanya bagi menghadapi perlawanan dengan United, namun ia tidak menjejaskan aksi anak-anak buahnya.

Tumpuan mereka sekarang ialah terhadap misi menjulang trofi Liga Juara-Juara buat kali ke-10 dan Karanka berharap bermain sehari lebih awal daripada United akan memberi kelebihan kepada mereka.

"Kami mendapat lebih rehat selama sehari dan kami rasa memang bagus untuk merehatkan beberapa pemain penting sebelum bertemu United.

"Apa pun kita tengok siapa yang akan mereka turunkan esok (semalam)," jelas Karanka mengenai pertemuan United dengan Everton. - Agensi

Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my

Tiada ulasan:

Catat Ulasan