NASKHAH filem Abu Nawas, Gila-Gila, Putus Sudah Kasih Sayang, Da Di Du, Prebet Lapok dan Senario The Movie
kini hanyalah kenangan yang ditinggalkan oleh pelawak veteran Datuk
Yahaya Sulong selepas Allahyarham menghembuskan nafas terakhir pada
pukul 6.45 petang di Hospital Kuala Lumpur akibat penyakit asma dan
pelbagai komplikasi penyakit lain, kelmarin.
Allahyarham yang meninggal dunia pada usia 85 tahun sepanjang
hayatnya telah berlakon dalam 24 buah filem dan puluhan drama serta
sitkom televisyen seperti Hang Setia bersama Allahyarham R. Jaafar, Param dan Hamid Gurkha.
Kali terakhir penulis bertemu dengannya adalah sekitar Disember lalu
di rumahnya yang terletak di Flat Bandar Baru Sentul, waktu itu kecoh
kononnya arwah dan isterinya, Datin Alisah Ali, 65, dihalau oleh pihak
Dewan Bandaraya Kuala Lumpur kerana gagal melunaskan sewa bulanan.
Bagaimanapun berita itu dinafikan isterinya dan bantuan datang
daripada pelbagai pihak untuk meringgankan beban keluarga mereka kerana
Alisah turut menghidap penyakit kanser paru-paru tahap empat.
Ketika bertemu dengan arwah, tahap kesihatannya sudah parah. Tidak
bercakap banyak, hanya senyuman terukir apabila bantuan diberikan,
manakala hanya air mata mengalir apabila ditanya tentang penderitaan
penyakit asma kritikal yang dihidapinya.
Meskipun kehidupannya tidak mewah dan menanggung keperitan penyakit
pada penghujung usianya, arwah tidak pernah menyesal menjadi seorang
pelakon. Perkara itu diakui sendiri oleh isterinya.
"Arwah tidak pernah menyesal menjadi pelakon, jiwanya memang dalam
bidang seni. Sepanjang 35 tahun berkahwin dengannya, saya bahagia
walaupun kami bukan orang senang," ujar Alisah.
Bagaimanapun, Alisah terkilan kerana tidak dapat menjaga dan berada
di sisi suaminya ketika arwah meninggal dunia. Sayangnya pada suami,
Allah sahaja yang tahu tetapi penyakit kanser paru-paru yang dihidapinya
membataskan pergerakkannya.
"Kali terakhir saya bertemu dengan arwah pada 11 Januari lalu sebelum
arwah dimasukkan ke hospital. Saya sedih kerana tidak sempat melawat
arwah sepanjang arwah dirawat di hospital. Saya sangat terkejut dengan
pemergiannya. Selepas ini saya hidup sendiri," katanya sedih.
Salah seorang rakannya, pelakon Hazimah Haroon memberitahu arwah
seorang yang tabah dan tidak pernah merungut walaupun kehidupannya
dilanda kesusahan.
"Bagi saya, dia antara manusia yang baik pernah saya jumpa. Dia pula
yang hiburkan orang lain supaya tidak bersedih dengan keadaannya.
Kehilangannya benar-benar membuatkan saya terasa. Semoga rohnya
dirahmati Allah," tuturnya yang juga Pengerusi Jawatankuasa, Biro
Kebajikan Persatuan Seniman Malaysia.
Pelakon veteran, Harun Hashim pula menyifatkan arwah seorang lelaki
yang tidak pernah menyusahkan orang terutamanya melibatkan kerja-kerja
lakonan.
Harun yang pernah bekerjasama dengan arwah menerusi sebuah teater
bangsawan berkata, arwah mempunyai bakat yang istimewa kerana dia tidak
perlu diajar apa yang harus dilakukan ketika beraksi di pentas bagi
melakonkan sesebuah watak.
"Persembahan yang dibawakan arwah amat mengagumkan tanpa perlu
diajar. Sebaliknya arwah pula yang mengajar orang sekeliling menerusi
lakonannya. Arwah juga tidak pernah putus bercerita mengenai karier dan
sentiasa memberikan idea-idea menarik, mencantikkan lagi jalan cerita
filem atau teater yang dilakonkan," kata Harun.
Dalam pada itu, pelakon Abu Bakar Omar berkata, walaupun tidak
terlalu akrab dengan arwah, namun dia membuatkan orang yang baru
mengenalinya selesa berbual dengannya.
"Dia tidak pernah putus-putus memberikan nasihat mengenai karier dan
kehidupan. Saya berharap sangat agar jasanya sebagai seorang pelakon
hebat dikenang sampai bila-bila," tuturnya.
Sebelum menjadi pelakon, arwah juga pernah bertugas dalam pasukan
polis pada tahun 1948 bagi menentang komunis disebabkan itu arwah diberi
gelaran Datuk oleh kerajaan negeri Perlis pada tahun 2009.
Bagaimanapun, penerimaan anugerah itu ditentang isteri kerana
menganggap ia tidak sesuai dengan taraf kehidupan mereka yang susah
tetapi arwah tetap berdegil dan menerimanya tanpa pengetahuan isteri.
Arwah menganggap gelaran yang diberikan adalah untuk mengenang
jasanya sebagai anggota keselamatan yang berkhidmat mempertahankan
negara pada tahun 1948 dan bukan atas statusnya sebagai seorang artis.
Sepanjang hidupnya, arwah pernah berkahwin sebanyak empat kali dan
Alisah merupakan isteri keempatnya, bagaimanapun mereka tidak mempunyai
cahaya mata bersama. Arwah mempunyai 11 orang anak, enam cucu dan dua
cicit hasil perkahwinannya yang terdahulu.
Jenazahnya selamat dikebumikan berdekatan pusara ibu dan isteri
pertamanya di Kampung Bahagia, Teluk Intan, Perak. Semoga rohnya
ditempat dalam kalangan orang-orang beriman. Al-Fatihah. - HARYATI KARIM
-Kosmo_
Tiada ulasan:
Catat Ulasan