Selasa, 26 Februari 2013

Penantian berakhir



BARISAN pemain Swansea meraikan kejayaan muncul juara Piala Liga selepas membenam Bradford pada aksi final di Stadium Wembley kelmarin.


LONDON - Strategi jangka panjang menjadi kunci kejayaan Swansea City yang akhirnya meraih trofi utama selepas tujuh tahun menanti.

Piala Liga yang dimenangi Swansea selepas menewaskan Bradford City 5-0 di Stadium Wembley kelmarin juga disifatkan pengurusnya, Michael Laudrup berkat kesabaran dan sumbangan pengurus sebelum ini yang sama-sama membangunkannya.

Antara pengurus yang pernah membimbing kelab selatan Wales itu sebelum ini adalah Roberto Martinez, Paulo Sousa dan Brendan Rodgers.

"Falsafah membangunkan kelab ini sudah ada enam hingga tujuh tahun lalu dan ketibaan saya hanya menyambung apa yang telah dilakukan pengurus terdahulu.

"Kerana falsafah antara pengurus itu sama, maka mudah bagi saya membangunkannya. Pengurus sedemikian biasanya mencari jenis pemain yang sama.

"Jadi, bila datang pengurus baharu, tidak perlu kerap tukar pemain seperti kelab lain. Dari segi ekonomi, ia memang menjimatkan dan baik untuk kelab ini," katanya.

Bagi Bradford, mereka pula tidak perlu malu dengan kegagalan itu kerana reputasi sebagai kelab Divisyen Empat yang berjaya layak ke final Piala Liga sudah cukup membanggakan.

Untuk rekod, Bradford merupakan kelab Divisyen Empat yang pertama layak ke final sejak kali terakhir Rochdale melakukannya pada 1962.

Laudrup sendiri memuji kemampuan Bradford itu yang dianggapnya suatu pencapai- an yang berhak diingati sampai bila-bila.

"Lihat pasukan apa yang mereka kalahkan sebelum ini seperti Wigan, Arsenal, Aston Villa dan Watford. Ia menakjubkan dan akan menjadi sejarah buat Bradford," tegas Laudrup.

Gol-gol Swansea kelmarin disumbangkan Nathan Dyer dan Jonathan de Guzman yang masing-masing menyumbang dua gol manakala satu lagi gol disumbangkan Michu. - AFP

Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my

Tiada ulasan:

Catat Ulasan