GLASGOW - Jurulatih Juventus, Antonio Conte pastinya individu yang
paling berpuas hati di tepi padang sebaik skuad kendaliannya melakar
kemenangan bergaya 3-0 ke atas Celtic dalam aksi pertama pusingan kalah
mati kempen Liga Juara-Juara di Stadium Parkhead awal pagi semalam.
Conte yang pernah digantung empat bulan kerana didapati bersalah atas
tuduhan mengatur perlawanan sebelum ini sudah boleh tersenyum lebar
selepas menyaksikan kemampuan anak-anak buahnya meraih bekalan selesa ke
Stadium Juventus dalam aksi kedua kira-kira tiga minggu lagi.
Kejayaan menerajui takhta saingan liga domestik - Serie A ketika ini
juga dilihat melengkapkan mimpi indah Conte bagi melupakan kedukaan
silam.
Meskipun sedar aksi di Turin selepas ini bagaikan pelengkap jadual
perlawanan semata-mata, Conte masih tetap menghormati kemampuan Celtic.
"Ia satu kemenangan yang cukup penting memandangkan Celtic dilihat cukup liat untuk ditewaskan di depan penyokong sendiri.
"Sejujurnya, saya tidak pernah mengharungi perlawanan yang cukup tertekan seperti itu sebelum ini," kata Conte.
Dalam perlawanan itu, Juventus memecah kebuntuan seawal minit ketiga
menerusi jaringan Alessandro Matri sebelum Claudio Marchisio
menggandakan kelebihan buat pasukan pelawat pada minit ke-77.
Mirko Vucinic akhirnya melengkapkan mimpi ngeri tuan rumah apabila menjaringkan gol ketiga Juventus pada minit ke-83.
Conte memberitahu, anak-anak buahnya perlu kekal berwaspada biarpun memiliki kelebihan peraturan gol di tempat lawan.
"Barcelona pernah tewas di sini (Glasgow). Selain itu, Celtic juga
pernah menyingkirkan Benfica (pada peringkat kumpulan musim lalu).
"Jadi tiada sebab mengapa kami perlu beraksi sambil lewa di Turin selepas ini." - Reuters
Tiada ulasan:
Catat Ulasan