Isnin, 11 Februari 2013

Gergasi Merah perlu bijak



AMRI (kiri) terlepas aksi menentang Sabah hari ini kerana masih menjalani penggantungan satu perlawanan.


KEMAMPUAN Sabah melakar kejutan ke atas pasukan pilihan, Felda United pada aksi pusingan pertama Piala FA sebelum ini, mengundang perasaan waspada pengendali Selangor, Irfan Bakti Abu Salim.

Menjelang pertemuan kedua-dua pasukan pada aksi pusingan kedua Piala FA di Stadium Likas, Kota Kinabalu petang ini, Irfan tidak mahu anak-anak buahnya memandang mudah cabaran Sang Badak biarpun lawan mereka beraksi dalam saingan Liga Premier.

Duka ditunjukkan jalan keluar oleh Johor FC pada peringkat sama pada edisi tahun lalu, Irfan menjelaskan bahawa situasi itu boleh berulang sekiranya Gergasi Merah tidak fokus sepenuhnya pada perlawanan petang ini.

“Biarpun berjaya menewaskan Sabah 3-0 dalam aksi pra musim sebelum ini, ia bukan alasan buat kami mendabik dada memandangkan kekuatan Sabah dilihat sukar dijangka.

“Pada masa sama, situasi terpaksa beraksi di bawah cuaca panas terik juga bukan kelebihan buat kami. Jadi, pemain perlu bijak mengawal keadaan sekali gus mara ke pusingan seterusnya,” kata Irfan kepada Kosmo! semalam.

Untuk rekod, juara lima kali itu mara ke pusingan kedua selepas mengatasi Angkatan Tentera Malaysia (ATM) menerusi penentuan sepakan penalti pada aksi pusingan pertama di Stadium Shah Alam bulan lalu.

Mereka terpaksa berdepan Sabah lebih awal petang ini ekoran memiliki misi yang lebih besar berdepan kelab India, East Bengal FC dalam aksi Piala AFC di Kolkata pada 27 Februari depan.

Begitupun, baki tujuh aksi pusingan kedua yang membabitkan 14 lagi pusingan kekal berlangsung 26 Februari depan.

Mengulas lanjut, Irfan memberitahu pasukan kendaliannya kini bersedia membendung asakan Sang Badak di tempat lawan terutamanya dengan kehadiran semula K. Gurusamy yang sudah pulih daripada kecederaan.
Begitupun katanya, beliau terpaksa melupakan khidmat Amri Yahyah yang kini menjalani hukuman penggantungan perlawanan.

“Saya harap, kami dapat melakar kemenangan ke atas Sabah sebagai penyuntik moral sebelum berdepan Kelantan dalam aksi Liga Super di Stadium Shah Alam, Jumaat ini,” katanya optimis.

Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my

Tiada ulasan:

Catat Ulasan