|
MUHAMMAD Nazmi Faiz Mansor kini sah menjadi milik kelab Selangor PKNS.
Semalam, dia menandatangani kontrak selama tiga tahun bersama kelab itu, namun nilai perpindahan tidak didedahkan.
Pengurus Selangor PKNS, Azmi Adnan berkata, kedatangan Nazmi ke kelab
itu ibarat ‘durian runtuh’ buat mereka dan kehadirannya bakal
memperkukuhkan pasukan yang menghuni tangga kelapan saingan Liga Super
ketika ini.
“Ejen Nazmi, Marco Guimaraes telah datang mengadakan perbincangan
dengan kami pada awal Januari lalu bagi menyatakan bahawa Nazmi akan
dilepaskan oleh kelab S.C Beira-Mar dan dia (Nazmi) sedang mencari kelab
baharu.
“Selepas mengadakan perbincangan lanjut, kami bersetuju untuk
‘membelinya’. Proses itu berjalan lancar manakala kontraknya bersama S.C
Beira-Mar telah ditamatkan,” kata Azmi kepada Kosmo! semalam.
Menurut Azmi lagi, esok dia akan pergi ke pejabat Persatuan Bola
Sepak Malaysia (FAM) bagi membincangkan beberapa perkara lagi untuk
membolehkan Nazmi turun dalam perlawanan Liga Super pada 16 Februari
depan menentang Felda United.
Kata Azmi, Selangor PKNS tidak beraksi dalam Piala Presiden, oleh itu
mereka boleh mendaftar 35 orang pemain dan ketika ini mereka hanya
memiliki 29 pemain yang didaftarkan.
“Kami bertekad mengasah bakatnya sebaik mungkin dan yakin Nazmi juga mampu memberikan sesuatu kepada kami.
“Nazmi akan memakai jersi nombor 33 bersama Selangor PKNS dan
pihaknya akan merayu kepada FAM agar membenarkannya bermain tanpa
menunggu sehingga jendela perpindahan pemain dibuka pada April,” kata
Azmi lagi.
Sementara itu, ejen Nazmi, Guimaraes berkata, terdapat beberapa kelab
Liga Malaysia yang berminat mendapatkan Nazmi, namun dia (Nazmi) telah
memilih Selangor PKNS sebagai pasukan baharunya.
Bagaimanapun, Guimaraes juga enggan mengulas lanjut sebab kontrak Nazmi bersama SC Beira-Mar ditamatkan lebih awal.
Untuk rekod, Nazmi, 19, telah menandatangani kontrak bersama SC Beira-Mar selama tiga tahun pada 21 Mei tahun lalu.
Sebelum menyertai kelab Portugal, pemain kelahiran Lembah Keramat,
Kuala Lumpur itu mewakili skuad Harimau Muda kendalian Ong Kim Swee.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan