Selasa, 26 Februari 2013

Debaran El Clasico



MESSI menjadi taruhan Barcelona ketika berdepan Real pada aksi separuh akhir kedua Piala Raja Sepanyol di Nou Camp awal pagi esok.


MADRID - Lionel Messi mengakui yang Barcelona perlu bangkit menjelang pertemuan El Clasico dengan seteru utama, Real Madrid pada aksi separuh akhir kedua Piala Raja Sepanyol di Nou Camp awal pagi esok.

Selepas mempamerkan aksi konsisten sepanjang musim ini, Barcelona mula menunjukkan tanda-tanda keletihan selepas tunduk 0-2 kepada AC Milan dalam kempen Liga Juara-Juara minggu lalu.
Skuad The Catalan itu nyaris dimalukan Sevilla dalam saingan Liga Sepanyol kelmarin apabila bangkit daripada ketinggalan sebelum menang tipis 2-1.

Justeru Messi menyifatkan, hanya kemenangan ke atas Real yang mampu menyuntik kembali semangat mereka.

"Kami perlu mempamerkan prestasi terbaik kami apabila turun menentang Real nanti. Kami harus berada pada tahap sebenar jika mahu mara ke final," kata Messi.

Messi menambah rekod jaringannya dengan menyumbang satu gol ketika Barca menang ke atas Sevilla dan ia merupakan gol ke-15 berturut-turut yang dilakarnya buat kelab Catalan itu.

"Kami harus kembali kepada tahap seperti sebelum ini dan tidak harus memikirkan tentang apa yang bakal menanti kami di Milan nanti.

"Kami juga harus melupakan aksi hambar ketika menentang Sevilla tempoh hari.
"Nasib kami dalam kempen Piala Raja Sepanyol dan Liga Juara-Juara kini terletak di tangan kami sendiri. Kami tidak akan memberi tumpuan kepada pasukan lawan.

"Secara fizikalnya, pasukan ini masih dalam keadaan yang baik dan saya sudah biasa bermain dalam semua perlawanan," tambah penyerang Argentina itu.

Aksi separuh akhir pertama di Santiago Bernabeu dua minggu lalu menyaksikan Barcelona berjaya mengikat Real dengan keputusan seri 1-1. - AFP

Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my

Tiada ulasan:

Catat Ulasan