LONDON - Perancang England, Frank Lampard percaya kemenangan 2-1 ke
atas Brazil di Stadium Wembley awal pagi semalam membuktikan skuad
kendalian Roy Hodgson itu akhirnya sudah cukup ampuh untuk memberi
tentangan kepada pasukan-pasukan gergasi di dunia ini.
Selepas mempamerkan prestasi hambar ketika era Fabio Capello dan
permainan berhati-hati pada awal bimbingan Hodgson, England akhirnya
mencatat kemenangan pertama ke atas Brazil sejak 23 tahun hasil
permainan corak serangan yang diterapkan skuad gabungan pemain muda dan
veteran itu.
Dengan Steven Gerrard mengetuai jentera tengah, dua pemain muda -
Jack Wilshere dan Tom Cleverley diberi peluang untuk naik membantu
jentera serangan di belakang Wayne Rooney, manakala Theo Walcott dan
Danny Welbeck menambahkan lagi ancaman England di bahagian sayap.
Ia satu gabungan yang menakjubkan dan sukar untuk dihadapi oleh
Brazil terutamanya ketika Rooney membuka jaringan hasil serangan bertali
arus yang melibatkan Wilshere dan Walcott.
Walaupun Brazil berjaya menyamakan kedudukan 1-1 pada babak kedua
menerusi Fred, perancang Chelsea, Lampard pula muncul menghadiahkan
kemenangan buat The Three Lions pada minit ke-60.
"Konsentrasi dan kerjasama di bahagian tengah di antara saya, Steven (Gerrard) dan Jack sangat hebat," jelas Lampard.
"Kami sangat berbahaya ketika naik menyerang dan kami juga memiliki
kepantasan. Kalau kamu lihat kepada pasukan ini sekarang, kamu akan
dapati ia lebih sedikit mengujakan.
"Kalau kamu lihat apa yang Theo lakukan ketika bertahan, apa yang
Wayne dan Danny lakukan, kamu akan sedar bahawa kami mampu mengalahkan
mana-mana pasukan.
"Daripada segi kerja berpasukan dan peluang yang kami cipta, jelas
sekali kami lebih bagus daripada Brazil yang mempunyai pemain
berkualiti." - AFP
Tiada ulasan:
Catat Ulasan