Jumaat, 8 Februari 2013

Harimau Malaya belum mampu



AIDIL (kiri) tampil dengan aksi mengagumkan pada aksi menentang Qatar kelmarin.


NAMPAK gayanya, skuad bola sepak negara, Harimau Malaya masih belum mampu untuk bersaing di pentas Asia.

Bukan mahu merendahkan keupayaan mereka, tetapi masih terlalu banyak kelemahan yang perlu diperbaiki sebelum mereka boleh bersaing dengan gergasi bola sepak Asia yang lainnya.

Boleh dikatakan, gaya bola sepak Malaysia masih agak ketinggalan berbanding negara Asia yang lainnya, khususnya daripada segi taktikal, kepantasan serta fokus ketika mengharungi perlawanan.

Kreativiti untuk mempelbagai corak permainan memang tiada langsung, dan paling menyedihkan ialah pemain negara terlalu mudah kehilangan bola kepada pemain lawan.

Pada aksi pembuka tirai kempen kelayakan Piala Asia 2015 peringkat Kumpulan D menentang Qatar di Doha malam kelmarin, terlalu banyak kelemahan ditonjolkan oleh pemain negara sepanjang perlawanan tersebut.

Taktikal memang sangat mendukacitakan, kepantasan, tidak perlu dipersoalkan kerana ia kelemahan yang dilihat paling ketara dalam kalangan pemain.
Kawalan bola, tidak sampai empat saat pun bola berada di kaki, ia sudah disambar mudah oleh pemain lawan.

Andai kelemahan seperti ini masih gagal diatasi, impian untuk melihat skuad negara menjejak kaki ke pusingan akhir Piala Asia 2015 tidak akan menjadi kenyataan.

Mungkin hanya satu sahaja kelebihan yang ada kepada pemain negara, iaitu kerja keras, tetapi ia masih belum cukup untuk meraih kejayaan.
Penyokong mahukan keputusan positif. 

Setinggi mana sekali pun komitmen mahu pun kerja keras setiap pemain, tetapi ia tidak membawa makna kerana peminat hanya mahukan keputusan.

Jika skuad tempang dijadikan alasan terhadap kekalahan tersebut, ia memang sama sekali tidak boleh diterima kerana bola sepak tidak bergantung kepada pemain tertentu untuk meraih kemenangan.
Ia memerlukan kerja berpasukan, tidak kira siapa yang diberi tanggungjawab untuk beraksi, dan setiap pemain hendaklah bersedia menunaikannya sebaik mungkin.

Kekalahan 2-0 kepada Qatar pada aksi pembuka tirai itu memang sangat mengecewakan kerana jaringan yang dihasilkan oleh pasukan lawan boleh dianggap sebagai terlalu mudah.
Gol kedua tidak seharusnya berlaku jika barisan pertahanan Harimau Malaya terus mengekalkan fokus mereka terhadap perlawanan.

Apa pun, itulah bola sepak Malaysia dan peminat tidak boleh mengharapkan yang lebih baik daripada itu.

Mungkin untuk tempoh lima atau sepuluh tahun akan datang, peminat jangan mengharapkan sangat untuk menyaksikan bola sepak negara berdiri megah di pentas Asia, kerana berdasarkan momentum ketika ini, masih terlalu banyak kerja yang perlu dilakukan sebelum mampu bersaing di peringkat yang lebih tinggi lagi.

Bola sepak masa kini memerlukan kepantasan serta kebijaksanaan mencorakkan rentak permainan dan jika elemen ini masih tidak diamalkan, maka bola sepak negara akan semakin ketinggalan.

Malaysia sebenarnya memerlukan lebih ramai pemain seperti Aidil Zafuan Abdul Radzak, Azamuddin Mohd. Akil yang boleh dianggap antara pemain yang agak menonjol dalam skuad Harimau Malaya pada aksi menentang Qatar kelmarin.

Dua pemain ini dilihat memiliki kepantasan serta keyakinan diri yang tinggi, namun kebolehan yang ada pada mereka ini belum mampu untuk membantu skuad negara meraih kejayaan.

Pemain veteran, Mohd. Amri Yahyah juga layak dipuji kerana dia tampil lebih gagah berbanding pemain muda yang lain dalam pasukan.

Mungkin kerana pengalamannya, ia membantu dia tampil dengan penuh keyakinan pada perlawanan tersebut.

Jurulatih, Datuk K. Rajagobal tidak harus meletakkan Amri dalam senarai pemain simpanan selepas ini jika mengambil kira prestasinya pada aksi menentang Qatar itu.

Malangnya, Amri tidak mendapat bantuan secukupnya daripada bahagian tengah pada perlawanan menentang Qatar itu, akibatnya dia banyak berusaha sendiri untuk mencipta peluang.
Selepas Qatar, banyak lagi cabaran besar yang bakal dihadapi skuad Harimau Malaya dan mereka perlu lebih bersedia dari segi mental dan fizikal.

Tugasan seterusnya ialah menentang Yemen pada 22 Mac nanti di Stadium Shah Alam dan apa yang diharapkan pada perlawanan itu kelak ialah untuk menyaksikan Harimau Malaya lebih menyerlah.

Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/

Tiada ulasan:

Catat Ulasan