Jumaat, 8 Februari 2013

England mengganas


LAMPARD menjaringkan gol kemenangan England pada aksi menentang Brazil awal pagi semalam. Pada perlawanan tersebut, England menang 2-1.


LONDON – Selepas 23 tahun, England akhirnya berjaya memusnahkan Brazil. Walaupun sekadar aksi persahabatan, tetapi kemenangan 2-1 yang dilakar skuad kendalian Roy Hodgson itu membawa makna yang amat besar buat bola sepak England.

Ia satu kebangkitan yang sudah lama dinantikan oleh penyokong fanatik England yang selama ini sering dihampakan oleh bekas gergasi bola sepak dunia itu.

Bukan setakat berjaya menamatkan badi selama 23 tahun tetapi juga merupakan kali pertama England berjaya mengatasi Brazil dengan jaringan dua gol sejak tahun 1984.

Hodgson merupakan individu paling berbangga dengan kejayaan itu dan dia melontarkan pujian terhadap aksi anak-anak buahnya yang berjaya mencatatkan kemenangan pertama ke atas juara dunia lima kali itu.

Jaringan Wayne Rooney dan Frank Lampard kelmarin sudah cukup untuk menghadiahkan kejayaan cemerlang England ke atas Brazil pada aksi yang berlangsung di Stadium Wembley itu.
Hodgson berkata: “Saya sangat berpuas hati. Kami telah membuktikan bahawa kami sudah cukup bagus.

“Ia pertemuan pertama saya dengan Brazil sebagai jurulatih dan saya gembira kerana berjaya melaksanakannya dengan kemenangan.

“Kemenangan ini sesuatu yang positif bagi kami. Saya harap ia akan melonjakkan lagi keyakinan pemain. Paling penting, ia satu persembahan yang sangat memuaskan daripada seluruh pasukan.”
Pada perlawanan tersebut, penjaga gol England, Joe Hart berjaya menyelamatkan dua percubaan Ronaldinho hasil daripada sepakan penalti sebelum Rooney meletakkan The Three Lions di depan pada minit ke-27.

Penyerang Brazil, Fred kemudian menyamakan kedudukan 1-1 namun, perancang Chelsea, Lampard meledakkan gol kemenangan pada babak kedua.

Ini adalah kemenangan pertama England ke atas Brazil dalam 23 tahun dan juga kali pertama mereka menjaringkan dua gol ke atas gergasi Amerika Selatan itu sejak 1984.
“Apabila kamu mengendalikan skuad England dan bermain di Wembley, kamu pasti akan bangga dengan setiap kemenangan.

“Selain daripada aksi hambar pada awal babak kedua di mana kami banyak kehilangan bola, pasukan ini bagaimanapun berjaya menangani asakan Brazil dengan baik sekali.

“Apa yang paling saya puas hati ialah kami berjaya menunjukkan karakter sebenar meskipun dalam keadaan tertekan,” katanya.

Jurulatih Brazil, Luiz Felipe Scolari mengakui England memang layak untuk menang.
Bekas pengurus Chelsea itu berkata: “Saya tidak kecewa kerana kalah pada perlawanan ini.

“Kami beraksi menentang pasukan England yang memiliki pemain berkualiti dan berkelebihan dari segi fizikal,” ujarnya. – Agensi

-Kosmo_

Tiada ulasan:

Catat Ulasan