HAMPIR tiga dekad melayari ranjau sebagai sebuah
kumpulan rock terkemuka, Wings boleh berbangga apabila mereka mampu
berdiri megah sejauh ini. Tidak terhenti daripada terus menghiburkan
jutaan peminat, kumpulan yang dianggotai oleh empat ahli ini ada misi
besar yang harus dilunaskan.
Bertempat di Istana Budaya (IB) bermula 26, 27, 28 dan 30 April
depan, Wings sekali lagi diberi penghormatan untuk menakluk panggung
bertaraf dunia bagi sebuah komuniti rock.
Sebagai salah kumpulan yang pernah beraksi di situ, sudah pasti kunjungan kali kedua ini perlu diperkemas dalam segala sudut.
Tidak terkecuali, Wings tetap akan menggunakan khidmat Orkestra
Simfoni Kebangsaan (OSK) sepanjang konsert berkenaan. Sudah pasti
khalayak seni tertunggu-tunggu formula baru konsert Wings Rockestra setelah dua tahun menyepikan diri.
Terpancar kegembiraan di wajah Awie, Joe, Black dan Eddie yang juga
merupakan tulang belakang Wings selama ini. Kehadiran mereka ke pentas
IB kali kedua cukup dirasai apatah lagi dapat bergandingan bersama OSK
sekali lagi.
OSK yang akan dipimpin oleh Mustafa Fuzer turut dianggotai 43 ahli
akan mendendangkan lebih 20 seleksi lagu-lagu popular Wings yang
pelbagai. Sudah pasti dengan penambahan OSK ini akan memberikan dimensi
lain kepada lagu-lagu pilihan mereka.
Selaku vokalis Wings, Awie tidak menafikan rasa teruja dengan
persembahan kali ini memandangkan sambutan yang diberi oleh peminat dua
tahun lalu di luar jangkaan dan kekal diingati.
"Kita tidak akan mengulangi apa yang telah kita persembahkan ketika
beraksi di pentas yang sama dua tahun lalu. Kalau diikutkan pemilihan
lagu pun sudah kita bincangkan dan sudah di peringkat terakhir.
"Apa yang saya pasti 80 peratus lagu kali ini lain dan tak sama
dengan yang dulu. Kita mahu suntik kelainan memandangkan lagu-lagu yang
Wings ada sangat banyak dan ada yang jarang kita persembahkan di
mana-mana konsert.
"Kalau mereka yang memang minat Wings tentu sudah mengikuti
perkembangan kami sejak dulu. Jadi rasanya tak ada masalah untuk mereka
mengetahui lagu-lagu itu walaupun jarang keluar radio misalnya.
"Apa-apa pun saya harap tak ada peminat yang merungut dengan lagu-lagu tu nanti," jelas Awie.
Sejak ditubuhkan pada tahun 1985, Wings adalah antara kumpulan rock
yang harus dibanggakan. Mereka telah menghasilkan 17 album studio, 10
album kompilasi dan empat album rakaman secara langsung.
Tidak pernah menyangka mampu bertahan selama ini, Wings yakin atas
usaha dan kerja keras mereka selama ini yang memanjangkan hayat mereka.
Lantas, inilah masa untuk mereka terus menghiburkan para peminat dengan
memberikan persembahan terbaik.
Akui Awie lagi, sejak dia menguar-uarkan konsert Wings Rockestra beberapa bulan lalu, dia sudah menerima maklum balas yang baik daripada peminat.
"Alhamdulillah ramai yang memang bersemangat nak tengok konsert kali
ini. Bila saya tengok sambutan hangat yang mereka beri, itu menambahkan
lagi rasa seronok nak beraksi di pentas ini.
"Memang kita sudah merancang pelbagai kejutan untuk diberikan pada
empat malam itu. Tapi semua itu tidak boleh didedahkan termasuklah siapa
artis undangan kali ini. Itu kena tunggu sikit masa lagi.
"Kita akan memperdengarkan lagu Menakluk Kosmos yang juga merupakan lagu baru kami," jelas Awie lagi.
Tiket-tiket untuk menyaksikan konsert Wings Rockestra
dianjurkan oleh Anggerik Event Sdn. Bhd berharga RM499, RM399, RM299,
RM199, RM149, RM99 dan RM69 kini sudah mua dijual. Layari
www.ticket2ubiz atau datang sendiri ke kaunter tiket Istana Budaya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan