RUSTENBURG, Afrika Selatan - Ivory Coast bangkit daripada ketinggalan
untuk mengikat Algeria 2-2 pada aksi terakhir Kumpulan D kempen Piala
Negara-Negara Afrika 2013 awal pagi semalam.
Pada aksi di Stadium Royal Bafokeng itu, Didier Drogba dan Wilfried Bony menyelamatkan maruah skuad The Elephants daripada tewas buat pertama kalinya pada kempen tahun ini.
Drogba berjaya merapatkan jurang pada minit ke-77 sebelum Bony
mengikat kedudukan tiga minit kemudian, sekali gus melenyapkan kelebihan
Algeria yang memperoleh gol menerusi Sofiane Feghouli dan El Arbi Hilal
Soudani pada minit ke-64 serta 70.
Keputusan seri itu sudah memadai buat anak-anak buah Sabri Lamouchi
untuk melangkah ke suku akhir bersama-sama Togo yang seri 1-1 dengan
Tunisia dalam satu lagi aksi awal pagi semalam.
"Saya berasa bangga dengan semangat anak-anak buah saya yang tidak mudah mengaku kalah meskipun sudah ketinggalan dua gol.
"Tahniah juga buat Algeria yang tidak memberikan kami laluan mudah.
"Namun, saya sedikit kecewa apabila Tunisia terpaksa pulang awal pada kempen kali ini," kata Lamouchi.
Pada aksi suku akhir Ahad ini, Ivory Coast akan berdepan naib juara Kumpulan C, Nigeria manakala Togo menentang Burkina Faso.
Sementara itu, jurulatih Algeria, Vahid Halilhodzic berkata, beliau
memberitahu anak-anak buahnya supaya memenangi perlawanan itu.
"Malangnya, kami gagal menyaingi kehebatan Ivory Coast yang jauh lebih berpengalaman.
"Saya juga tidak menyalahkan Ryad Boudebouz yang gagal menyempurnakan sepakan penalti pada babak pertama.
"Bagi saya, kami dalam proses pembentukan kerana dibarisi pemain muda
dan memerlukan masa sekurang-kurangnya dua tahun untuk menyinar,"
katanya.
Pada perlawanan itu, Lamouchi kekal dengan polisi penggiliran pemain
apabila melakukan rombakan besar-besaran termasuk mengetepikan sembilan
pemain ketika mengatasi Tunisia 3-0 sebelum hari.
Hanya Koffi 'Romaric' N'Dri dan Salomon Kalou sahaja mendapat
kepercayaan Lamouchi selain menyenaraikan semula Koulo Toure dan Drogba.
- AFP
Tiada ulasan:
Catat Ulasan