SEMAKIN hari semakin ramai pelakon dari Singapura yang berhijrah ke
Malaysia kerana mahu melebarkan bakat dan kerjaya mereka dalam dunia
lakonan.
Bukannya di negara pulau itu tidak ada peluang berlakon teater, drama
atau filem, tetapi Malaysia menjanjikan peluang yang lebih banyak.
Jika tidak, masakan pelakon seperti Atikah Suhaime sanggup berulang
alik dari Singapura ke Kuala Lumpur bagi mengembangkan bakat dan
minatnya sebagai pelakon.
Menurut pelakon berusia 22 tahun itu, sebelum mencuba nasib di
Malaysia, dia terlebih dahulu mencipta nama sebagai pelakon drama di
negaranya sejak beberapa tahun lalu.
Sebelum ini saya memang sudah terbabit dalam bidang drama
televisyen. Antara drama lakonan saya bertajuk Dikir Puteri dan
Delicatessen yang telah disiarkan di Singapura.
Tetapi saya belum puas berlakon dan mahu mencari peluang yang lebih
banyak di Malaysia berbanding Singapura. Sejak dari dulu saya cuba
mencari peluang berlakon di sini.
Peluang itu datang apabila David Teo (pemilik MIG Production Sdn.
Bhd.) menawarkan saya berlakon di bawah syarikat produksinya pada tahun
lalu," katanya kepada Hits baru-baru ini.
Jelas Atikah, dia tidak menduga gambarnya yang tersiar di laman
sosial Instagram baru-baru ini telah menarik perhatian David yang ketika
itu sedang mencari pelakon baru.
David kemudiannya suruh saya hantar resume kepadanya. Saya
kemudiannya datang untuk menjalani satu sesi uji bakat dan kemudiannya
lulus dalam sesi yang dijalankan itu.
Saya kemudiannya diambil mengikat kontrak sebagai pelakon yang
bernaung di bawah MIG Talent iaitu anak syarikat MIG untuk tempoh selama
lima tahun.
Sebagai permulaan saya diberi peluang melakonkan watak-watak
pembantu dalam drama-drama dan filem-filem terbitan MIG sejak tahun lalu
sampai sekarang," ujarnya.
Berjauhan dari keluarga
Setelah mengikat kontrak sebagai artis MIG Talent Sdn. Bhd., Atikah
telah mengambil keputusan untuk menetap sementara di Petaling Jaya,
Selangor sejak tahun lalu.
Dia sanggup berjauhan daripada ibu bapa dan adik beradiknya yang
menetap di Tampines, Singapura bagi memudahkannya menjalani penggambaran
drama dan filem terbitan MIG di sini.
Saya bersyukur kerana MIG telah mengambil saya bernaung di bawah
produksi mereka. Secara tidak langsung saya ada banyak peluang berlakon
drama dan filem terbitan mereka.
Malah, pihak MIG turut menyediakan sebuah rumah untuk saya dan para
pelakon lain yang berada di bawah MIG di Taman Sri Manja, Petaling Jaya
sepanjang menjadi artis mereka.
Biasanya saya akan balik ke Singapura sebulan sekali. Saya akan
ambil cuti seminggu untuk menghabiskan masa bersama-sama keluarga saya
di Singapura," jelasnya.
Tidak sampai setahun menjadi pelakon, hasil kerja dan bakat Atikah
mula kelihatan apabila semakin banyak drama lakonannya yang telah
ditayangkan di kaca-kaca televisyen.
Antara drama dan telemovie lakonannya yang telah disiarkan itu
berjudul Kampung Mangkuk Sengkuang (TV3) dan Rawan sebanyak lapan episod
menerusi TV9 baru-baru ini.
Anak kedua daripada tiga beradik itu menambah, selepas setahun
terbabit dalam dunia lakonan di negara ini, dia dapat merasakan banyak
kelainan berbanding di negaranya.
Di Singapura walaupun saya berlakon dalam drama Melayu, tetapi
hampir 70 peratus dialog yang digunakan dalam bahasa Inggeris dan macam
sebuah drama yang berbahasa rojak.
Malaysia masih berpegang kepada kekuatan bahasa Melayu dalam
drama-dramanya. Mungkin di Singapura bahasa Inggeris lebih popular
berbanding bahasa Melayu," katanya.
Justeru, Atikah berharap pengorbanan meninggalkan keluarganya di
negara republik itu berbaloi, apatah lagi apabila melihat ramai pelakon
Singapura yang berjaya di sini.
Tambahnya lagi, kejayaan yang ditempa oleh pelakon dari Singapura
seperti Aaron Aziz dan Adiputra secara tidak langsung memberi perangsang
buat dirinya.
Saya kagum dengan bakat dan kejayaan Aaron Aziz dan Adi Putra kerana
mereka sebelum itu memang telah dikenali sebagai pelakon di Singapura
dan sekarang ini di Malaysia.
Baru-baru ini saya pernah berjumpa mereka dalam sebuah majlis dan
kami sempat berbual sekejap. Tetapi mereka tidak tahu saya juga orang
Singapura," ujarnya.
Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my
Tiada ulasan:
Catat Ulasan