SUKAN
LONDON - Sergio Aguero menjelaskan, Manchester City sepatutnya
mencatat kejayaan yang lebih cemerlang selepas sekadar berpeluang
menamatkan kempen musim ini dengan trofi Piala FA sahaja.
Juara bertahan Liga Perdana England itu sudah hampir pasti menamatkan
saingan di tangga kedua kali ini, namun mereka turut dilabel pasukan
pilihan menjuarai Piala FA pada aksi final menentang Wigan di Stadium
Wembley bulan depan.
Seandainya berjaya, ia akan menjadi trofi kejuaraan ketiga City dalam
masa tiga tahun, sekali gus menyaksikan The Citizens mengakhiri musim
ini dengan nada yang positif.
Ditanya sama ada memenangi Piala FA akan menjadikan musim mereka kali
ini cemerlang, Aguero berkata: "Dari satu sudut, ia memang satu
kejayaan.
"Namun dari sudut lain, kamu harus ingat bahawa kami memiliki sebuah
pasukan yang berkemampuan bersaing untuk memenangi lebih banyak lagi
trofi.
"Kami sepatutnya melakukannya dengan lebih baik lagi. Kami
ketinggalan terlalu banyak mata di belakang Manchester United dalam
saingan liga.
"Kelab ini gagal memenangi banyak kejuaraan sejak beberapa tahun
lepas dan sekurang-kurangnya jika kami menang satu lagi trofi, ia
mungkin sesuatu yang bagus buat kelab ini."
Penyerang Argentina itu juga mengakui bahawa amat penting bagi City
untuk meneruskan rekod kejayaan berturut-turut mereka dalam memenangi
kejuaraan.
"Ini satu-satunya trofi yang kami ada peluang untuk menang, jadi kami perlu memberi perhatian yang serius terhadapnya.
"Kami juga sangat gembira kerana dapat beraksi pada final kali ini," tambahnya. - Agensi
Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my
Tiada ulasan:
Catat Ulasan