Sabtu, 27 April 2013

Chong Wei tepati ramalan


PEMAIN No. 1 dunia, Datuk Lee Chong Wei terus mempamerkan kecemerlangan untuk melangkah ke separuh akhir pada Kejohanan Badminton Siri Super Terbuka India 2013 semalam.

Pada aksi suku akhir itu, Chong Wei menundukkan pemain muda tuan rumah, H. S. Prannoy 21-14, 21-19 di Stadium Tertutup Siri Fort, New Delhi.

Chong Wei menerima tentangan yang agak sengit pada awal set pertama sebelum dia mula mengatur serangan untuk terus mendominasi aksi tersebut.

Bagaimanapun, Prannoy yang membuat kejutan menewaskan jaguh Indonesia, Taufik Hidayat kelmarin mempamerkan kebangkitan pada set kedua untuk memintas Chong Wei 7-4, 17-11.

Chong Wei yang turut ketinggalan 16-19 pada penghujung set kedua kembali menyusun strategi untuk menyamakan keputusan 19-19 sebelum mengakhiri aksi suku akhir itu 21-19 dalam tempoh perlawanan 34 minit.

Pada aksi separuh akhir hari ini, Chong Wei akan bertemu Boonsak Ponsana dari Thailand yang turut mara selepas menewaskan pemain India, R. M. V. Gurusaidutt 21-12, 11-21, 21-12.

Cabaran beregu utama negara, Koo Kien Keat-Tan Boon Heong pada Terbuka India 2013 turut berakhir.

Gandingan No. 2 dunia itu disekat pasangan Korea Selatan, Kim Ki Jung-Kim Sa Rang yang menewaskan mereka 19-21, 14-21 pada aksi suku akhir dalam tempoh 37 minit.

Pada set pertama, kedua-dua beregu itu saling mengatasi antara satu sama sebelum terikat 16-16, 18-18 dan 19-19, namun tuah lebih menyebelahi Ki Jung-Sa Rang yang mendahului 21-19 untuk menamatkan aksi pertama.

Pada set kedua, Kien Keat-Boon Heong sekadar memberikan cabaran pada awal perlawanan sebelum diasak beregu kelima dunia yang menguasai saingan dengan kelebihan 7 mata untuk menyingkirkan gandingan negara.

Kekalahan tersebut turut memberi kelebihan kepada Ki Jung-Sa Rang yang belum pernah ditewaskan oleh mereka dengan rekod kemenangan 3-0.

Terdahulu, Kien Keat-Boon Heong pernah ditewaskan pada pusingan kedua Terbuka Malaysia 2012 Januari tahun lalu sebelum tumpas di pentas final Terbuka Jepun 2012 (September lepas).

Nasib sama turut dialami beregu campuran negara, Chan Peng Soon-Goh Liu Ying yang dikejutkan oleh pasangan dari Poland, Robert Mateusiak-Nadiezda Zieba.

Peng Soon-Liu Ying masih belum ditumpaskan beregu ke-10 dunia itu dalam tiga pertemuan terdahulu dipaksa bekerja keras sebelum ditundukkan 13-21, 18-21 dalam tempoh 36 minit.

Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my

Tiada ulasan:

Catat Ulasan