MANCHESTER - Aksi Liga Perdana England di antara Manchester City dan
Wigan Athletic di Stadium Etihad awal pagi esok boleh diibaratkan
sebagai medan pemanas badan bagi kedua-dua pasukan.
Ia ekoran kedua-dua pasukan bakal berentap di pentas final Piala FA
di Stadium Wembley, Mei depan sebaik mengecewakan lawan masing-masing
minggu lalu.
City mengecewakan Chelsea dengan kemenangan 2-1 pada separuh akhir
Piala FA manakala Wigan mengatasi Mill- wall dengan kemenangan 2-0.
Ketika ini, skuad kendalian Roberto Mancini sedang memburu mata
penting bagi mengelak dipintas Arsenal yang mengekori rapat di tangga
ketiga liga.
Ia ekoran harapan The Citi- zens untuk mempertahankan trofi liga
tampak kian sukar selepas ketinggalan 15 mata di belakang seteru utama,
Manchester United.
Wigan di bawah kendalian Roberto Martinez pula mahu memastikan
kemenangan awal pagi esok, sekali gus keluar daripada zon penyingkiran
selepas hanya mengutip 31 mata setakat ini.
Pemain tengah City, Gareth Barry menegaskan, trofi Piala FA harus
menadi milik mereka supaya tidak berputih mata tanpa sebarang piala
musim ini.
Untuk rekod, mereka muncul juara Piala FA pada musim 2011 sebelum mendakap trofi kejuaraan liga musim lalu.
"Piala FA merupakan satu-satunya harapan kami mendakap trofi musim
ini. Jadi, kami perlu memastikan ia menjadi milik kami musim ini," kata
Barry.
Awal pagi esok, Mancini dijangka merehatkan David Silva yang masih
belum pulih daripada kecederaan hamstring, sekali gus terpaksa
diketepikan ketika berdepan Chelsea tempoh hari.
Namun, beliau dijangka kekal menggunakan khidmat penyerang, Sergio
Aguero yang terlepas daripada sebarang hukuman Persatuan Bola Sepak
England meskipun mengasari David Luiz dalam perlawanan itu.
Dua tonggak pertahanan The Citizens, Maicon dan Micah Richards juga belum pasti diturunkan ekoran belum pulih daripada kecederaan masing-masing. - AFP
Tiada ulasan:
Catat Ulasan