Rabu, 24 April 2013

Harimau Muda 'bertukar angin' ke Budapest


SELEPAS lebih sebulan ‘berguru’ di bumi Slovakia, skuad Harimau Muda cuba ‘bertukar angin’ apabila berhijrah seketika ke Budapest, Hungary bermula semalam.

Pengendali Harimau Muda, Ong Kim Swee berkata, skuad muda negara bakal menjalani latihan selama seminggu di Budapest sebelum kembali ke kem latihan di Vion pada 30 April ini.

Beliau berkata, sepanjang berada di Budapest, Harimau Muda juga dijadualkan mengadakan beberapa perlawanan persahabatan di sana.

“Kami akan bertolak ke Budapest selama seminggu untuk siri perlawanan persahabatan dan latihan sebelum kembali ke kem latihan di Vion (30 April),” kata Kim Swee menerusi Twitter peribadinya semalam.

Kim Swee memberitahu, Harimau Muda bakal mengharungi ujian pertama di Budapest apabila dijadualkan berdepan kelab divisyen satu Hungary, FGSZ Siófok malam ini (11 malam waktu Malaysia).

Untuk rekod, taring Harimau Muda dilihat masih tumpul apabila gagal memburu kemenangan sulung selepas mengharungi lima perlawanan setakat ini.

Sebelum ini, mereka tumpas sebanyak dua kali dalam dua pertemuan dengan kelab Slovakia, MSK Zilina 1-4 dan 2-3 selain dibelasah 1-7 oleh skuad bawah 21 tahun (B-21) Georgia.

Selain itu, Harimau Muda juga sekadar melakar keputusan seri 1-1 dan tanpa jaringan dengan skuad B-19 Slovakia dan B-19 Norway sebelum ini.

Siri ujian persahabatan itu merupakan medan pemanas badan skuad muda negara sepanjang berguru selama lima bulan di Slovakia sebagai persiapan awal mempertahankan pingat emas pada temasya Sukan SEA 2013 di Myanmar penghujung tahun ini.

Mereka dijangka mengadakan beberapa ujian persahabatan lagi di sana selepas ini apabila hanya kembali ke tanah air sebelum Aidilfitri.

Selain dijadualkan mengharungi Pestabola Merdeka, Ogos depan, Harimau Muda juga membawa cabaran negara dalam temasya Sukan Universiti Dunia (Universiade) 2013 di Kazan, Rusia dari 6 hingga 17 Julai depan.

Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my

Tiada ulasan:

Catat Ulasan