Sabtu, 27 April 2013

Aguero, Toure ubati kecewa City



AGUERO menjaringkan gol pertama City ketika menewaskan West Ham 2-1 pada aksi Liga Perdana England di Stadium Etihad malam tadi.


LONDON - Manchester City mengukuhkan kedudukan di tangga kedua Liga Perdana England selepas menewaskan West Ham United 2-1 di Stadium Etihad malam tadi.

Penyerang Argentina, Sergio Aguero dan pemain tengah Ivory Coast, Yaya Toure masing-masing menjaringkan satu gol pada minit ke-28 dan 83 untuk mengubat kedukaan skuad The Citizens yang gagal mempertahankan gelaran juara liga selepas tewas 1-3 kepada Tottenham Hotspur pada 21 April lalu.

Gol satu hati pasukan pelawat diperoleh menerusi penyerang England, Andrew Carroll pada masa kecederaan selepas penjaga gol, Joe Hart melakukan kesilapan 'bodoh'.

Beberapa minit selepas mengalami kecederaan ketika menyelamatkan percubaan Carroll, Hart membiarkan pemain yang sama melakukan rembatan untuk menghadiahkan gol sagu hati buat pasukan pelawat.
"Saya gembira dengan persembahan yang ditampilkan para pemain hari ini.

"Namun, saya tidak gembira dengan gol yang kami gagal jaringkan. Kami sepatutnya menjaringkan lebih banyak gol tetapi ini adalah masalah utama kami musim ini," kata Mancini.

Selain mengubat kekecewaan, kemenangan itu turut mengukuhkan kedudukan City di tangga kedua liga bagi mengesahkan slot automatik ke kempen Liga Juara-Juara musim depan.

Selepas Manchester United merangkul trofi liga ke-20 dengan menewaskan Aston Villa 3-0 Isnin lalu, tumpuan kini terarah kepada pasukan yang memburu slot ke kempen Liga Juara-Juara.

Selain itu, persaingan pasukan yang menduduki kelompok bawahan turut mencuri tumpuan kerana mereka cuba mengelak daripada tersingkir daripada saingan Liga Perdana England musim depan. 

City yang mengumpul 71 mata selepas mengharungi 34 perlawanan memiliki kelebihan lapan mata di depan pasukan di tangga ketiga, Arsenal.

Kini, anak-anak buah Roberto Mancini itu memberi fokus untuk memenangi trofi Piala FA apabila bertemu Wigan Athletic di Stadium Wembley, 11 Mei depan. 

Selain itu, City akan meneruskan kempen Liga Perdana England bertemu Swansea City di gelanggang lawan pada 4 Mei depan. - Agensi

Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my

Tiada ulasan:

Catat Ulasan