|
PARIS - David Beckham tidak menolak kemungkinan kekal bersama Paris
Saint-Germain (PSG) untuk semusim lagi setelah mengadakan perbincangan
bersama pemilik kelab itu semalam.
Bekas kapten England itu memberikan impak positif terhadap corak
permainan PSG semasa mengikat Barcelona 2-2 dalam aksi suku akhir
pertama Liga Juara-Juara di Stadium Parc des Princes kelmarin.
Justeru, Beckham, 37, yang menyertai PSG dengan kontrak jangka pendek
Disember lalu membayangkan akan kekal bersama kelab itu musim depan.
"Kita tengok dahulu macam mana. Saya telah mengadakan perbincangan bersama pemilik kelab dan jurulatih.
"Saya tahu mereka gembira dengan kehadiran saya di sini dan pada masa sama, saya juga gembira beraksi bersama mereka," katanya.
Namun pada masa sama, Beckham mengakui faktor usia bakal mengekang hasratnya untuk kekal beraksi bersama PSG musim depan.
"Saya bukannya semakin muda, jadi ada baiknya saya menikmati musim
ini sebaik mungkin sebelum membuat keputusan sama ada kekal di sini atau
pun bersara," jelas Beckham.
Pada masa sama, Beckham mengakui teruja apabila cepat menyesuaikan
diri dengan corak permainan yang diterapkan jurulatih PSG, Carlo
Ancelotti.
Ketiadaan Blaise Matuidi yang menjalani penggantungan perlawanan juga
dilihat membuka peluang buat Beckham beraksi dalam kesebelasan utama
menjelang aksi suku akhir kedua berdepan The Catalan di Nou Camp, minggu depan.
"Saya cuba memberikan impak yang positif setiap kali beraksi bersama PSG.
"Biarpun tidak lagi semuda dahulu, ia bukan bermakna saya perlu
diberikan layanan istimewa kerana saya tetap menjalani latihan seperti
mana rakan sepasukan yang lain," tegasnya. - Agensi
Tiada ulasan:
Catat Ulasan