|
MENTERI Belia dan Sukan, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek menyifatkan
kejayaan kelab bola sepak Liga Kejuaraan England, Cardiff City
melayakkan diri ke Liga Perdana England (EPL) musim depan merupakan
kebanggaan buat rakyat negara ini.
Sambil mengucapkan tahniah kepada kelab yang dimiliki ahli perniagaan
Malaysia, Tan Sri Vincent Tan itu, Ahmad Shabery berkata, kejayaan
tersebut dapat membawa jenama Malaysia di persada bola sepak
antarabangsa.
"Saya amat gembira dengan kejayaan tersebut. Tahniah, kerana ia
sedikit sebanyak telah memupuk semangat kepada para pemain kebangsaan
untuk bekerja lebih keras dalam mengharumkan nama negara di peringkat
antarabangsa," katanya semalam.
Kelab tersebut, yang menggunakan jersi yang tertera nama Malaysia,
menamatkan penantian selama 51 tahun untuk layak ke Liga Perdana
England.
Keputusan seri tanpa jaringan yang dicatatkan kelab bimbingan
jurulatih dari Scotland, Malky Mackay ketika menentang Charlton Athletic
awal pagi semalam, membolehkan mereka beraksi dalam liga utama England
itu buat julung- julung kalinya.
Mengulas lanjut, Ahmad Shabery berkata, kelab berkenaan telah lama
dianggap sebagai 'pasukan kebangsaan' kerana ia dimiliki oleh rakyat
Malaysia.
"Malaysia dan Cardiff City sudah lama mempunyai pertalian spiritual
kerana apabila penduduk di sana melihat pasukan itu, mereka pasti
mengaitkan dengan Malaysia kerana kita adalah penaja utama yang membawa
mereka ke tahap ini," katanya.
Beliau turut memuji program pembangunan pada peringkat akar umbi yang
dijalankan oleh kelab berkenaan dan menggesa pasukan Harimau Malaya
bimbingan Datuk K. Rajagobal untuk mencontohinya.
Turut senada dengan beliau ialah legenda bola sepak negara, Datuk Soh
Chin Aun yang menyifatkan kejayaan kelab itu beraksi di EPL musim depan
pasti menggembirakan seluruh rakyat Malaysia.
"Kita patut mencontohi bagaimana Vincent Tan membawa pasukan ini ke
EPL agar kita mampu mencapai tahap lebih baik pada masa akan datang.
"Skuad Harimau Malaya patut menjadikan kejayaan kelab itu sebagai
pembakar semangat untuk berusaha dengan lebih keras bagi melayakkan diri
beraksi pada Sukan Olimpik nanti," katanya.
Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my
Tiada ulasan:
Catat Ulasan