MADRID - Pengendali Real Madrid, Jose Mourinho berpuas hati dengan
kecemerlangan anak-anak buahnya meraih bekalan selesa selepas mengatasi
Galatasaray 3-0 dalam aksi suku akhir pertama kempen Liga Juara-Juara di
Stadium Santiago Bernabeu, awal pagi semalam.
Pada perlawanan tersebut, gol-gol kemenangan The Galacticos
dicetak oleh Cristiano Ronaldo seawal minit kesembilan sebelum Karim
Benzema (29) dan Gonzalo Higuain (73) menjamin bekalan selesa tuan rumah
menjelang aksi suku akhir kedua di Instanbul, minggu depan.
Di sebalik kecemerlangan jentera penyudah Real, Mourinho turut
gembira dengan kekebalan benteng pertahanan pasukannya mengekang hasrat
Galatasaray memburu gol di tempat lawan awal pagi semalam.
"Pasukan kami berjaya mempamerkan aksi yang cukup seimbang.
"Kami bertahan dan menyerang dengan baik. Kesemua pemain sedar
kesilapan mudah ketika peringkat seperti ini mampu mengundang bencana.
"Pada masa sama, saya juga gembira apabila Higuain dan Benzema
kembali menemui sentuhan penyudah dan ini cukup penting bagi
mengembalikan semula keyakinan mereka," kata Mourinho.
Biarpun seolah-olah sudah sebelah kaki ke separuh akhir, Mourinho sebaliknya enggan anak-anak buahnya berasa selesa.
"Galatasaray memerlukan keajaiban namun apa jua kemungkinan boleh berlaku dalam bola sepak.
"Saya cukup berpengalaman dalam hal ini, jadi saya mahu pemain saya
beraksi di Instanbul dengan mentaliti mahu menang," tegas Mourinho.
Pada masa sama, Mourinho juga tidak begitu panik meskipun bakal
kehilangan Sergio Ramos dan Xabi Alonso yang bakal terlepas aksi suku
akhir kedua nanti selepas mengutip kad kuning semalam.
"Kedua-dua mereka cukup penting buat pasukan, jadi saya menafikan
mereka sengaja mengutip kad kuning supaya dapat beraksi di saingan
separuh akhir nanti.
"Sejujurnya, ketiadaan mereka berdua sedikit sebanyak menjejaskan perancangan saya," katanya. - AFP
Tiada ulasan:
Catat Ulasan