Rabu, 24 April 2013

'Pikat hati Mackay'



VINCENT (kiri) dan Robin menunjukkan jersi Cardiff City yang

tertera nama Malaysia di Kuala Lumpur semalam.


PEMILIK Cardiff City, Tan Sri Vincent Tan bersedia untuk memberi peluang kepada pemain-pemain negara beraksi dalam saingan Liga Perdana England bersama kelab itu sekira- nya mereka berjaya memikat hati pengurus, Malky Mackay.

Begitupun Vincent berkata, pemain negara perlu memenuhi beberapa syarat yang ditetapkan oleh Persatuan Bola Sepak (FA) England terlebih dahulu sebelum dapat menjejakkan kaki dalam saingan liga bola sepak berprestij di Eropah itu.

"Sudah pasti saya mahu membawa seorang atau dua pemain Malaysia ke Cardiff City. Ia memang menjadi antara matlamat saya sejak memiliki kelab ini.

"Pengerusi program 1Malaysia Cardif City (1MCC), Datuk Chan (Tien Ghee) juga banyak berusaha ke arah ini menerusi penglibatan pemain-pemain cilik Malaysia di sini.

"Namun, untuk membawa pemain negara dalam masa terdekat ini seperti Safee (Sali) atau sesiapa sahaja, mereka harus memenuhi kriteria yang ditetap- kan oleh FA England," jelas Vincent dalam sidang media mengenai kejayaan kelab tersebut layak ke saingan Liga Perdana England musim 2013-14 di Kuala Lumpur semalam.

Turut hadir Pengerusi Berjaya Corporation Berhad, Datuk Robin Tan.
Menurut Vincent, antara kriteria yang ditetapkan oleh FA England ialah ranking dunia negara pemain tersebut harus berada tidak lebih daripada kedudukan No. 70 dunia.

"Selain itu, pemain berkenaan juga perlu beraksi dalam saingan bola sepak Eropah selama satu musim terlebih dahulu dan selepas itu barulah dia dapat beraksi di England.

"Sebenarnya ia tidak mustahil berlaku, jangan sesekali kata mustahil tentang sesuatu perkara jika kita belum melakukan- nya," jelasnya lagi.

Sementara itu, Vincent yang juga Pengerusi dan Ketua Eksekutif Berjaya Corporation Berhad menjelaskan misinya untuk membawa Cardiff City mencapai satu tahap yang lebih tinggi dalam saingan di England.

Cardiff City yang dibimbing Mackay berjaya menamatkan badi 51 tahun untuk beraksi dalam saingan tertinggi bola sepak England itu selepas menjuarai Liga Kejuaraan ketika saingan berbaki dua perlawanan musim ini.

Kelab dari Wales itu gagal melakukannya dalam dua musim berturut-turut apabila tewas dalam perlawanan penentuan.

"Ini adalah pencapaian yang menakjubkan dan saya mahu berkongsi kegembiraan ini dengan semua peminat kami di Wales dan Malaysia," katanya.

"Saya percaya kami mampu melakukan dengan lebih baik lagi pada musim depan, namun sudah tentu kami perlu perkuatkan beberapa bahagian dan ia terpulang kepada Malky mencari pemain pilihannya.

"Saya juga akan terus mempromosi nama Malaysia di atas jersi skuad The Bluebirds ini dengan membawa sokongan dan harapan peminat bola sepak kita di England," ujarnya.

Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my

Tiada ulasan:

Catat Ulasan