PENGENDALI The Red Warriors, Bojan Hodak memuji persembahan
anak-anak buahnya selepas kejayaan membenam Sarawak 2-0 pada suku akhir
kedua Piala FA di Stadium Negeri , Petra Jaya kelmarin.
Ini sekali gus menyaksikan Kelantan layak ke pusingan separuh akhir
dengan agregat 4-1 walaupun beraksi dalam keadaan kepenatan selepas
mengharungi jadual yang padat.
Hodak berkata, minggu lalu pasukannya beraksi dalam dua perlawanan
iaitu pada kempen Piala AFC di Vietnam sebelum tewas 1-3 kepada Angkatan
Tentera Malaysia (ATM) dalam saingan Liga Super.
"Para pemain mengikuti segala strategi dan taktikal yang dirancang
sejak wisel permulaan lagi dengan melancarkan asakan ke kubu Sarawak.
"Kita tahu, sekiranya kita mendapat gol awal, kita akan melemahkan
moral para pemain Sarawak untuk bangkit pada aksi di laman sendiri itu,"
katanya ketika ditemui selepas perlawanan malam kelmarin.
Katanya, melalui dua jaringan tersebut, anak-anak buahnya berjaya
meranapkan harapan pemain Sarawak untuk bangkit memburu slot ke pusingan
separuh akhir Piala FA walaupun bermain di hada- pan kira-kira 20,000
penyokong setia mereka.
"Saya melihat banyak beberapa kelemahan dikenal pasti dalam pasukan
kami pada perlawanan tersebut, namun para pemain tetap mampu menampilkan
aksi terbaik.
"Kita akan membuat beberapa pertukaran selepas ini sebelum turun menentang Selangor PKNS FC, Jumaat ini (esok).
"Selang empat hari selepas itu, kita akan bertandang ke Maldives
untuk menentang Maziya SRC dalam saingan Piala AFC sebelum melayan
kunjungan T-Team di laman sendiri dalam saingan Liga Super pula,"
katanya.
Sementara itu, ketua jurulatih Sarawak, Robert Alberts berkata,
permainan kurang agresif serta sering membuat hantaran tidak tepat telah
membuka ruang kepada pasukan lawan untuk menutup peluang mereka beraksi
pada separuh akhir.
"Kami melepaskan dua gol mudah pada separuh masa pertama dan situasi itu telah melunturkan segala perancangan kami.
"Kami juga dihukum oleh pengadil perlawanan yang membatalkan tiga jaringan Sarawak pada perlawanan tersebut," Alberts.
Perlawanan itu juga terpaksa dihentikan kira-kira 10 minit pada minit
ke-57 berikutan tindakan penyokong tuan rumah yang membaling objek ke
kawasan padang.
Malah, seorang anggota polis yang sedang bertugas mengalami
kecederaan di pipi selepas dibaling dengan batu oleh penyokong sejurus
sebelum tamat perlawanan.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan