LONDON - Penyerang Liverpool, Luis Suarez disabitkan dengan kesalahan
berkelakuan ganas oleh Persatuan Bola Sepak (FA) England kelmarin.
Suarez berdepan hukuman selepas menggigit lengan pemain pertahanan
Chelsea, Branislav Ivanovic ketika kedua-dua pasukan seri 2-2 pada aksi
Liga Perdana England di Anfiled, Ahad lalu.
FA England menjelaskan bahawa mereka sudah bersedia untuk menjatuhkan
hukuman seperti biasa iaitu penggantungan tiga perlawanan kerana
kesalahan yang dilakukan Suarez dapat dilihat dengan jelas.
Begitupun, badan induk bola sepak itu masih menunggu penjelasan
daripada Suarez sebelum Jawatankuasa Tatatertib FA menjatuhkan hukuman.
Liverpool turut mendenda penyerang sensasi Uruguay itu dan meminta
wang tersebut disalurkan kepada Hillsborough Family Support Group.
Kejadian buruk itu menjejaskan kredibiliti Suarez sebagai penyerang
terbaik Liverpool dan Uruguay, sekali gus dipaksa membuat permohonan
maaf kepada Ivanovic.
Pengurus skuad The Reds, Brendan Rodgers mengakui yang perbuatan Suarez itu tidak boleh diterima.
Sementara itu, pemain Dynamo Moscow, Otman Bakkal menyelar perbuatan
buruk Suarez, sekali gus mendedahkan bahawa dia pernah menjadi mangsa
gigitan pemain tersebut ketika beraksi dalam kempen Liga Belanda pada
2010.
Pada aksi tersebut, Suarez menggigit leher Bakkal.
Suarez yang mewakili Ajax Amsterdam digantung tujuh perlawanan oleh
Persatuan Bola Sepak Belanda atas kelakuan ganas terhadap Bakkal yang
beraksi bersama PSV Eindhoven.
Bagaimanapun, insiden hitam itu menyebabkan Suarez meninggalkan Ajax dengan menyertai Liverpool pada Januari 2011.
Bakkal percaya Suarez memiliki masalah panas baran. - Agensi
Tiada ulasan:
Catat Ulasan