|
PEJAM celik, sudah lebih sebulan skuad bola sepak Harimau Muda
berkelana menimba ilmu di bumi Eropah selepas meninggalkan tanah air
pada pertengahan Mac lalu.
Ia sebagai persiapan awal pasukan muda negara mempertahankan pingat emas pada temasya Sukan SEA
di Myanmar penghujung tahun ini.
Namun selepas mengharungi lima perlawanan, taring Harimau Muda
dilihat masih tumpul apabila gagal memburu kemenangan sulung setakat
ini.
Sebelum ini, mereka tumpas sebanyak dua kali dalam dua pertemuan
dengan kelab Slovakia, MSK Zilina dengan keputusan 1-4 dan 2-3 selain
dibelasah 1-7 oleh skuad bawah 21 tahun (B-21) Georgia.
Selain itu, skuad kendalian Ong Kim Swee juga sekadar melakar
keputusan seri 1-1 dan 0-0 dengan skuad B-19 Slovakia dan B-19 Norway
sebelum ini.
Jangan terlalu cepat menghukum, keputusan itu sebenarnya perlu dilihat daripada sudut yang lebih positif.
Bukan apa, kemampuan pasukan-pasukan yang berkualiti dari Eropah
seperti ini amat diperlukan Harimau Muda dalam usaha melakar sejarah
baharu ketika temasya Sukan SEA 2013 nanti.
Bukan kemenangan yang dijadikan ukuran, sebaliknya bagaimana pemain
muda negara memberikan reaksi matang sebelum ujian sebenar di Myanmar
kelak.
Tiada gunanya skuad muda negara dilihat terlalu hebat melakar
kemenangan ke atas pasukan yang lebih lemah tetapi akhirnya tersungkur di bumi Myanmar.
Berdasarkan rekod, sejak temasya Sukan SEA diperkenalkan pada 1959 di
Bangkok (dahulunya dikenali sebagai Sukan SEAP), skuad negara masih
belum berjaya memenangi emas bola sepak buat kali ketiga berturut-turut.
Justeru, pengalaman yang diraih di bumi Eropah kali ini perlu
dimanfaatkan sepenuhnya oleh setiap pemain muda negara sebelum turun
berjuang mempertahankan gelaran yang dimenangi mereka di Laos (2009) dan
Indonesia (2011).
“Corak permainan yang konsisten, konsentrasi, disiplin serta kekuatan
fizikal dan mental merupakan antara ciri untuk kita berjaya di
peringkat yang lebih tinggi.
“Kefahaman tentang aspek taktikal amat penting buat setiap pemain
apabila menghadapi situasi berbeza dalam setiap perlawanan,” kata Kim
Swee baru-baru ini.
Atas kertas, kemampuan jentera serangan negara mencetak gol menerusi
pemain berbeza seperti Irfan Fazail dan Muhammad Ferris Danial Mat Nasir
sepanjang di Eropah kali ini juga mengundang petanda positif.
Ia jelas membuktikan skuad muda negara tidak terlalu bergantung
kepada keupayaan individu memburu jaringan seperti Md Rozaimi Abdul
Rahman, Syahrul Azwari Ibrahim dan A. Thamil Arasu semata-mata.
Cuma pada masa sama, kegoyahan benteng pertahanan negara yang bolos begitu banyak, tetap mengundang keresahan Kim Swee.
“Benteng pertahanan dilihat cepat kehilangan konsentrasi dan ia wajar diperbaiki segera,” kata Kim Swee.
Untuk rekod, siri ujian persahabatan itu merupakan medan pemanas
badan skuad muda negara sepanjang ‘berguru’ selama lima bulan di
Slovakia sebagai persiapan awal mempertahankan pingat emas pada temasya
Sukan SEA 2013.
Mereka dijangka mengadakan beberapa ujian persahabatan lagi di sana
selepas ini dan hanya kembali ke tanah air sebelum Aidilfitri.
Selain dijadualkan mengharungi Pestabola Merdeka, Ogos depan, Harimau
Muda juga membawa cabaran negara dalam temasya Sukan Universiti Dunia
(Universiade) 2013 di Kazan, Rusia dari 6 hingga 17 Julai depan.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan