Rabu, 17 April 2013

Ryukyu terpaksa ketepikan Wan Zack


OKINAWA, Jepun - Kapten FC Ryukyu, Yugo Ichiyanagi tanpa berselindung mengakui, kehilangan pemain sayap, Wan Zack Haikal Wan Nor yang mengalami kecederaan kaki kanan, jelas memberikan kesan kepada jentera serangan pasukannya menjelang pertemuan menentang Yokohama Sports and Cultures Club (YSCC).

Ichiyanagi memberitahu, ketiadaan Wan Zack yang dianggap pemain cukup penting dalam skuad kendalian Norihiro Satsukawa itu, mungkin menjejaskan misi mereka memburu tiga mata berharga ketika bertandang ke Stadium NHK Springs Mitsuzawa Football, Sabtu ini.

Dia menyifatkan kehilangan khidmat Wan Zack untuk tempoh sekurang-kurang tiga minggu dilihat mengganggu perancangan Satsukawa yang mencongak strategi untuk terus berada dalam kelompok lima pasukan teratas saingan Divisyen Ketiga Liga Jepun (Liga J).

Jelasnya, kualiti yang ada pada Wan Zack memang tidak boleh disangkal lagi dan dia memang seorang pemain yang memiliki kualiti seperti yang dipamerkannya pada aksi sulung menentang Sagawa Printing di Stadium Okinawa City Athletics, Sabtu lalu.

"Gaya persembahannya memang menakjubkan dan dia merupakan ancaman kepada benteng pertahanan lawan.

"Biarpun dia hanya beraksi selama 80 minit dan tidak menjaringkan sebarang gol tetapi Wan Zack telah memberi sumbangan yang besar kepada pasukan.

"Selepas mempamerkan aksi cemerlang dalam penampilan sulung itu, Wan Zack kini terpaksa direhatkan selama sebulan gara-gara masalah kecederaan kaki kanan ketika sesi latihan baru-baru ini," katanya.

Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my

Tiada ulasan:

Catat Ulasan