|
TINDAKAN yang saya ambil adalah untuk kebaikan dan kemajuan sukan bola sepak negeri Johor.”
Demikian penjelasan Tunku Mahkota Johor (TMJ), Tunku Ismail Idris
Sultan Ibrahim mengenai tindakan baginda menarik balik keputusan meletak
jawatan sebagai Presiden Persatuan Bola Sepak Negeri Johor (PBNJ)
berkuat kuasa serta-merta.
Dalam kenyataan dua perenggan yang dihantar kepada semua media malam
tadi, Tunku Ismail bertitah, baginda bersetuju menerima semula jawatan
sebagai Presiden PBNJ setelah menghadap Presiden Persatuan Bola Sepak
Malaysia (FAM), Sultan Ahmad Shah di Istana Pahang minggu lalu yang
meminta baginda menarik balik keputusan meletak jawatan.
“Nasihat serta pandangan baginda (Sultan Ahmad Shah) juga mendapat
titah perkenan ayahanda saya, Sultan Ibrahim Ismail Su1tan Iskandar,”
kata baginda.
Baru-baru ini, Sultan Ahmad Shah memaklumkan bahawa Tunku Ismail
menerima semula jawatan sebagai Presiden PBNJ selepas dipujuk oleh
baginda sendiri, selain turut mendapat restu Sultan Ibrahim dalam
pertemuan hampir sejam yang turut disertai oleh Tengku Muda Pahang,
Tengku Abdul Rahman Sultan Ahmad Shah.
Tunku Ismail sebelum ini digantung selama enam bulan dan denda
sebanyak RM18,000 oleh Jawatankuasa Tatatertib FAM kerana mengkritik
mutu pengadilan Liga Malaysia (Liga M), dan hukuman itu berkuat kuasa
sejak 8 Mac lalu.
Baginda turut dipalit dengan kontroversi selepas didakwa duduk di
bangku simpanan pemain sewaktu aksi Liga Super antara Johor Darul Takzim
FC (JDT FC) menentang Terengganu di Stadium Tan Sri Hassan Yunos,
Larkin pada 30 Mac lalu ketika hukuman berkenaan masih berkuat kuasa
sebelum Tunku Ismail membuat keputusan melepaskan jawatan sebagai
Presiden PBNJ 3 April lalu.
Baginda dikatakan berbuat demikian kerana mahu menumpukan tugas
selaku Tunku Mahkota Johor, dan tidak mahu terikat dengan undang-undang
FAM.
Tunku Ismail turut mengumumkan baginda akan menjadi penaung PBNJ
manakala jawatan Presiden PBNJ akan disandang Setiausaha Kerajaan Negeri
Johor, Datuk Obet Tawil.
Mengulas lanjut, baginda menjelaskan bahawa pendekatan yang
dilakukannya itu demi para penyokong Johor yang sentiasa memberi
sokongan padu kepada skuad bola sepak negeri tersebut.
“Saya juga mengambil kesempatan ini untuk mengumumkan bahawa pasukan
Johor Darul Takzim (DT) telah mengambil pengajaran daripada kesilapan
lalu, dan akan diperkukuhkan daripada segenap aspek,” titah baginda.
Skuad Johor DT juga akan mengharungi fasa baharu apabila pasukan itu
bakal menyaksikan kemasukan pemain-pemain tempatan yang baharu, serta
pengambilan beberapa pemain import yang berkualiti.
Sejak Tunku Ismail menerajui PBNJ, bola sepak Johor dilihat kembali
meriah apabila penyokong semakin ghairah membanjiri stadium setiap kali
skuad dari selatan tanah air itu beraksi.
PBNJ memiliki dua wakil dalam saingan Liga Malaysia (Liga M) dengan
Johor DT beraksi dalam Liga Super dan Johor FA pula bersaing dalam Liga
Premier.
Setakat ini, Johor DT menduduki tempat ketiga Liga Super dengan 19
mata manakala Johor FA juga berada di tangga ketiga Liga Premier dengan
22 mata
Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my
Tiada ulasan:
Catat Ulasan