OKINAWA, Jepun - Pemain muda negara, Nazirul Naim Che Hashim tidak
berasa kecewa meskipun tidak membuat penampilan bersama FC Ryukyu pada
aksi pertama menentang Sagawa Printing kelmarin.
Menurutnya, masanya akan tiba kerana perjalanan liga masih panjang
dan dia tetap optimis bakal diberi peluang beraksi selepas ini.
Keyakinan itu hadir selepas dia menyaksikan persembahan cemerlang
rakan senegara, Wan Zack Haikal Wan Nor ketika membantu pasukan kelab
tersebut menewaskan Sagawa Printing 2-1 di Stadium Okinawa City
Athletics, kelmarin.
Pemain kelahiran Perak itu yang terpaksa disisihkan akibat masalah
kecederaan mendedahkan, dia masih mampu untuk merebut tempat dalam
kesebelasan utama, dengan syarat dia terus bekerja kuat untuk meyakinkan
pihak pengurusan.
Jelas Nazirul, dia juga tidak menolak bahawa perasaan gugup dan takut
sentiasa hadir, namun pemain berusia 19 tahun itu kekal optimis bahawa
dia memiliki keupayaan untuk bersaing secara sihat dalam skuad kendalian
Norihiro Satsukawa itu.
Untuk rekod, FC Ryukyu berjaya melakarkan kemenangan menerusi
jaringan, Shunta Takashi dan Kazuki Gahana pada minit ke-53 dan masa
kecederaan sementara gol sagu hati Sagawa dijaringkan Kei Nanako (17).
"Memang tidak dapat dinafikan bahawa ada sedikit perasaan kecewa
kerana saya gagal beraksi dalam skuad utama pada aksi menentang Sagawa
semalam (kelmarin).
"Selepas menyaksikan persembahan Wan Zack, keghairahan saya untuk
beraksi semakin menebal, dan saya percaya peluang untuk beraksi itu
bakal tiba.
"Berdasarkan laporan perubatan, kecederaan saya akan pulih sepenuhnya dalam tempoh seminggu atau selewat-lewat dua minggu.
"Saya akan menunggu waktu tersebut, dan mengenai peluang diturunkan
dalam kesebelasan utama, saya fikir saya mampu bersaing untuk posisi
pertahanan kiri kelab tersebut.
"Pada aksi menentang Sagawa, pertahanan FC Ryukyu mempamerkan
persembahan yang baik tetapi dalam masa yang sama, saya tetap optimis
bahawa peluang saya untuk beraksi nanti pasti ada," katanya.
Selain mendedahkan mahu beraksi bersama pasukan utama FC Ryukyu,
Nazirul turut berazam untuk membantu pasukan itu layak beraksi dalam
Divisyen Pertama Liga Jepun musim depan.
Katanya, dia bersama Wan Zack masih belajar untuk berkomunikasi
dengan barisan pemain FC Ryukyu sebagai usaha untuk memantapkan
persembahan mereka ketika beraksi di atas padang.
"Fokus utama saya ialah untuk membantu FC Ryukyu layak ke Divisyen Pertama Liga J dalam tempoh terdekat," katanya.
_kosmo-
Tiada ulasan:
Catat Ulasan