LONDON - Secara matematiknya, perebutan gelaran juara Liga Perdana England musim ini masih terbuka.
Bagaimanapun, Manchester United boleh menutup pintu buat pencabarnya, Manchester City sekiranya skuad The Red Devils berjaya menewaskan Stoke City di Stadium Britannia, Ahad ini.
Kemenangan ke atas Stoke bakal menyaksikan anak-anak buah Alex Ferguson memiliki kelebihan 15 mata di depan skuad The Citizens.
City selaku juara bertahan akan bertemu Chelsea pada aksi separuh
akhir Piala FA pada hari yang sama dan mereka masih mempunyai baki tujuh
perlawanan tetapi jurang 15 mata itu terlalu besar untuk dikejar.
Anak-anak buah Roberto Mancini menangguhkan hasrat United untuk
meraikan kejayaan itu lebih awal selepas mencatat kemenangan 2-1 di Old
Trafford, Isnin lalu.
Namun, kemenangan di Stoke bakal menyukarkan misi City, sekali gus
memberi peluang kepada United untuk menjulang trofi liga buat kali
ke-20.
Pemain pertahanan United, Patrice Evra berkata, mereka perlu mengekalkan konsentrasi sehingga ke akhir musim ini.
"Stoke merupakan suatu tempat yang sukar untuk dikunjungi. Jadi, kami perlu bersedia untuk menghadapi pertarungan itu.
"Namun, kami sering kali pulang dengan tiga mata penuh dalam tempoh
beberapa tahun lalu. Tidak ada apa-apa yang mudah sehingga akhir musim
ini tetapi kami perlu memastikan bahawa kami akan memenangi perlawanan
seterusnya.
"Kami berada di kedudukan yang baik tetapi kami perlu menghadapi
semua perlawanan satu persatu. Jangan letakkan diri kami dalam keadaan
tertekan. Hanya memenangi perlawanan seterusnya. Selepas itu,
segala-galanya akan menjadi mudah," kata Evra.
Sementara itu, seorang lagi pemain pertahanan United, Phil Jones
berkata, mereka tidak akan berhenti berjuang sehingga secara
matematiknya mengesahkan City tidak mampu lagi memintas mereka.
"Perebutan gelaran masih belum berakhir tetapi kami berada di
kedudukan yang baik. Kami sangat kecewa dengan kekalahan kepada City
baru-baru ini.
"Ia merupakan peluang terbaik untuk me- menangi gelaran juara.
Apabila kamu tewas kepada musuh sejiran, sebagai seorang pemain United,
ia sesuatu yang menyakitkan.
"Perjuangan belum berakhir tetapi kami memiliki kelebihan 12 mata.
Kami perlu memenangi perlawanan seterusnya. Kami tewas kepada City
tetapi sejak saya berada di sini, kami tidak pernah tewas dua kali
berturut-turut.
"Sebab itu saya harap kami akan terus berjuang dan menang pada
pertemuan menentang Stoke. Jangan fikir mengenai gelaran. Hanya perlu
menang perlawanan seterusnya," kata Jones. - Ag
Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my
Tiada ulasan:
Catat Ulasan