Selasa, 16 April 2013

Piala Sudirman jadi sasaran


BARISAN pemain negara yang muncul juara Piala Axiata 2013 akan terus diberi kepercayaan menggalas tugas pada Piala Sudirman pada Mei nanti.


SELEPAS kejayaan menjulang gelaran juara pada Kejohanan Badminton Piala Axiata 2013 kelmarin, skuad negara kini mengalih fokus untuk melakar kejayaan serupa pada Piala Sudirman yang akan berlangsung di Stadium Putra, Bukit Jalil pada 19 hingga 26 Mei nanti.

Misi untuk menjulang Piala Sudirman tidak mustahil dapat direalisasikan andai skuad negara meneruskan rentak cemerlang, seperti yang dipamerkan pada final Piala Axiata kelmarin, yang menyaksikan mereka menewaskan Thailand 3-1.

Keyakinan itu turut dirasai pemain No. 1 dunia, Datuk Lee Chong Wei yang percaya, skuad negara akan tampil dengan lebih cemerlang pada Piala Sudirman nanti.

Keyakinan yang diluahkan Chong Wei itu ekoran kejayaan skuad negara menjuarai acara berpasukan campuran pada Piala Axiata yang beraksi di Stadium Badminton Cheras, Kuala Lumpur kelmarin.

Jelasnya, kejayaan yang diraih skuad negara ketika membenam Thailand 3-1 di pentas final Piala Axiata itu membuktikan Malaysia mampu tampil dengan aksi lebih bertenaga sekiranya beraksi di laman sendiri.

"Sudah pasti keyakinan kami bertambah, tetapi kami harus meneruskan konsistensi ini dalam beberapa lagi kejohanan kerana Piala Sudirman akan bermula dua minggu selepas Grand Prix Emas Terbuka Malaysia (30 April hingga 4 Mei).

"Kami akan membuat persiapan yang terbaik kerana Malaysia menjadi tuan rumah Piala Sudirman tahun ini, dan sudah tentu kami akan bekerja keras untuk melangkah ke separuh akhir.

"Saya, Koo Kien Keat-Tan Boon Heong (beregu lelaki), Chan Peng Soon-Goh Liu Ying (beregu campuran) serta pemain-pemain perseorangan wanita dan beregu wanita akan berusaha, dan akan memberikan yang terbaik pada Piala Sudirman nanti," kata Chong Wei.

Sebelum bermulanya kempen Piala Sudirman, pemain-pemain negara akan beraksi pada Kejohanan Badminton Asia di Taiwan (16-21 April), Siri Super Terbuka India (23-28 April) dan Terbuka Malaysia.

Oleh itu, Chong Wei menasihatkan setiap pemain negara agar lebih berwaspada dalam setiap kejohanan yang disertai serta mengukuhkan lagi semangat berpasukan seperti mana yang dipamerkan pada kempen Piala Axiata.

"Saya berharap setiap pemain akan lebih berhati-hati selepas ini agar tidak mengalami sebarang kecederaan, kerana kami akan menyertai beberapa kejohanan lagi seperti Terbuka India dan Terbuka Malaysia.

"Sebenarnya dalam tempoh yang singkat memang sukar untuk kami meningkatkan lagi tahap kecergasan atau kemahiran, tetapi kami akan cuba dan pada masa yang sama menguatkan lagi semangat berpasukan dan memberikan sokongan antara satu sama lain," jelas Chong Wei.

Menjelang aksi Piala Sudirman bulan depan, Malaysia dijangka mendapat laluan yang mudah ke suku akhir selepas diundi dalam Kumpulan C menentang Jerman dan Taiwan.

Juara lapan kali, China diundi dalam Kumpulan A bersama Indonesia dan India, manakala Kumpulan B akan menyaksikan Korea Selatan pernah meraih tiga gelaran Piala Sudirman menentang Thailand dan Hong Kong.

Pasukan gergasi Eropah, Denmark diundi bersama Jepun dan Singapura dalam Kumpulan D.

Pencapaian terbaik skuad negara pada kejohanan berpasukan campuran itu ialah mara ke separuh akhir pada edisi 2009 di Guangzhou, China.

-kOSMO-

Tiada ulasan:

Catat Ulasan