Selasa, 16 April 2013

Kelantan, Sime Darby tak senasib



PENYERANG Selangor, Francis Forkey Doe (tengah) diasak pemain Johor DT pada aksi suku akhir kedua Piala FA di Stadium Shah Alam malam tadi.


SKRIP berbeza menimpa finalis musim lalu, Kelantan dan Sime Darby sebaik aksi suku akhir kedua Piala FA melabuhkan tirainya malam tadi.

Tampil selaku juara bertahan, Kelantan tidak berdepan masalah membenam cabaran Sarawak 2-0 di Stadium Negeri, Petra Jaya, sekali gus mara dengan agregat 4-1.

Pada perlawanan itu, kedua-dua gol skuad The Red Warriors diperoleh masing-masing satu menerusi Indra Putra Mahayuddin dan Nor Farhan Muhammad pada minit ke-19 dan ke-41.

Namun, kemenangan itu terpaksa dibayar dengan harga tinggi selepas Kelantan terpaksa melupakan khidmat Shakir Shaari yang dilayangkan kad merah selepas mengasari Joseph Kalang Tie pada minit ke-75.

Kelantan bakal melayan kunjungan seteru setempat, Terengganu di laman sendiri pada aksi separuh akhir pertama 25 Mei depan.

Sementara itu, di Stadium Majlis Perbandaran Selayang, naib juara musim lalu, Sime Darby gagal meneruskan kemaraan buat kali ini sebaik ditumpaskan Pahang menerusi agregat 0-2.

Penyerang import baharu skuad Tok Gajah, Matias Conti dari Argentina muncul wira pelawat apabila meledak kedua-dua gol pada minit ke-75 dan 80.

Kedua-dua pasukan terikat tanpa jaringan di Stadium Darul Makmur, Kuantan pada aksi suku akhir pertama minggu lalu.

Dengan keputusan itu, Pahang yang melengkapkan penguasaan tiga pasukan dari Pantai Timur, bakal berdepan Johor Darul Takzim di tempat lawan pada aksi separuh akhir pertama nanti.

Di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah, Kuala Terengganu, juara edisi 2011, Terengganu mengulangi pencapaian mara ke separuh akhir seperti musim lalu apabila menewaskan Negeri Sembilan dengan kemenangan bergaya 3-0.

Skuad Penyu mara dengan agregat 6-1 selepas terlebih dahulu melakar kemenangan selesa 3-1 dalam aksi suku akhir pertama di Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi minggu lalu.

Pada aksi petang semalam, Mohd. Ashaari Shamsuddin berjaya memecah kebuntuan pada minit ke-25 sebelum penyerang import, Jean-Emmanuel Effa Owona menggandakan kelebihan Sang Penyu pada minit ke-54.

Hasrat skuad Rusa untuk menghidupkan sisa-sisa peluang akhirnya terkubur apabila Effa Owona tenang menyempurnakan sepakan penalti pada minit ke-71 untuk kemenangan bergaya tuan rumah.
Di Stadium Shah Alam, Johor Darul Takzim berjaya mengecewakan juara lima kali, Selangor apabila menang menerusi pe- nentuan sepakan penalti 4-2.

Penjaga gol pelawat, Al-Hafiz Hamzah muncul wira apabila berjaya menggagalkan sepakan dua pemain Selangor, Mahalli Jasuli dan K. Gurusamy. 

Kedua-dua pasukan sebelum itu terikat menerusi agregat 3-3 sebaik masa sebenar perlawanan tamat.

Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my

Tiada ulasan:

Catat Ulasan