|
SEJAK pelakon muda, Neelofa menjadi pilihan utama Hans Isaac untuk
filem arahannya iaitu Lemak Kampung Santan, gosip cinta antara mereka
mula bertiup kencang.
Gosip itu semakin panas apabila mereka menjalani penggambaran filem
tersebut pada Oktober, 2011. Baik Hans mahupun Neelofa, masing-masing
tidak memberi sebarang pengesahan yang sahih tentang status hubungan
mereka.
Kenyataan yang sering diberikan mereka: "Kami berkawan rapat dan selesa antara satu sama lain."
Dalam satu temu bual sebelum ini, Hans pernah mengakui berkenalan rapat dengan keluarga Neelofa.
Bagaimanapun, pada sidang media filem Lemak Kampung Santan baru-baru
ini, Hans enggan berkongsi kisah peribadi dirinya dengan media.
"Saya tidak mahu gosip cinta dan cerita tentang hubungan kami menjadi
cerita yang lebih besar daripada filem saya. Sebab itu saya mengadakan
sidang media sekarang meskipun filem saya akan ditayangkan lambat lagi,"
katanya.
Sungguhpun begitu, Hans mengakui dia tertarik kepada Neelofa saat
pertama kali bertemu dengannya pada sesi uji bakat yang dijalankan.
"Sejujurnya saya langsung tidak mengenali siapa Neelofa sebelum
bekerja dengannya. Sebelum memilih Neelofa saya telah mempunyai pilihan
pelakon wanita yang lain, jauh lebih senior daripadanya.
"Namun, waktu itu Aziz M. Osman mencadangkan kepada saya supaya
mengambil Neelofa. Selepas bertemu dengannya buat pertama kali kami
terus serasi.
"Benarlah kata Aziz, Neelofa seorang pemikir, bukannya pelakon yang cantik dan kejar glamor semata-mata," tuturnya.
Tambahnya, pada sesi uji bakat, Neelofa telah mengejutkan dirinya
kerana berjaya melontarkan skrip seperti pelakon senior meskipun ketika
itu dia masih terlalu baru dalam dunia lakonan.
"Saya tertanya-tanya juga, pandai atau tidak dia berlakon? Selepas
melihat sendiri bakatnya saya cukup yakin dan terus mengambilnya untuk
watak Tiga.
"Sejak berkerja sama, kami berdua mula rapat. Apa yang saya suka tentangnya, dia boleh buat saya ketawa," ujarnya.
|
Ditebak mengapa sebelum ini Hans lebih terbuka berkongsi kisah cintanya, jawab Hans, dia telah belajar daripada kesilapan lalu.
"Sebelum ini memang saya bersikap terbuka dengan siapa saya bercinta
tetapi dengan sikap terbuka itu saya telah mendapat banyak masalah.
"Saya penat untuk menjawab soalan yang sama berulang kali. Rasanya
cukuplah saya dikenali dengan gosip cinta kerana apa yang saya inginkan
andai saya tiada lagi di dunia ini ialah pencapaian saya dalam industri
seni," balasnya.
Kata Hans, filem yang tidak cukup bagus sahaja akan menggunakan gosip cinta sebagai gimik untuk melariskan filem mereka.
"Selalunya penerbit yang menggunakan gosip cinta sebagai gimik untuk
lariskan filem kerana mereka tidak yakin dengan filem sendiri.
"Jujurnya, zaman 80-an banyak produksi filem menggunakan cara tersebut untuk melariskan filem. Hollywood juga tidak terkecuali.
"Sekarang sudah tahun 2013, tidak mungkin saya akan menggunakan cara yang sama untuk memancing penonton ke pawagam," ujarnya.
Jika sudah berkata begitu, sudah pasti Hans sangat yakin dengan
kualiti Lemak Kampung Santan yang dihasilkan dengan kos mencecah RM1.7
juta itu.
"Ya, memang saya cukup yakin filem saya berkualiti. Saya mempunyai
barisan pelakon yang terbaik dan saya sendiri memastikan setiap babak di
pawagam berbaloi untuk ditonton," jelasnya.
Permaisuri
Neelofa atau nama sebenarnya Noor Neelofa Mohd. Noor mengakui, gosip
cinta yang bertebaran tidak dirancang. Bukan itu sahaja, gosip cinta itu
tidak mengganggu konsentrasinya ketika berlakon bersama Hans.
"Ketika gosip itu hangat diperkatakan, kami sedang berada pada akhir
penggambaran. Terus-terang, saya langsung tidak terganggu dengan gosip
itu.
"Saya tidak akan sesekali mencampurkan urusan kerja dengan urusan
peribadi. Saya juga kunci mulut tentang kisah peribadi, apa yang saya
boleh katakan kami berkawan baik, itu sahaja," balas pelakon berusia 24
tahun itu.
Sambung pelakon kelahiran Kelantan itu, sepanjang penggambaran Lemak
Kampung Santan selama 45 hari, dia diberi layanan bak permaisuri oleh
Hans.
"Memang cukup berbeza ketika berada di set penggambaran Hans.
Semuanya cukup lengkap. Makanan, tempat rehat dan karavan yang lengkap
dengan penghawa dingin. Rasa seperti permaisuri (ketawa).
"Kemudahan itu bukan untuk saya seorang sahaja, tetapi untuk semua
pelakon yang terlibat, jadi jangan salah faham," tuturnya berseloroh.
Tambahnya, terlibat dalam filem tersebut pada tahun pertama menceburi
bidang seni telah mengangkat dirinya ke tahap yang lebih tinggi kerana
dikelilingi oleh pelakon-pelakon yang berkaliber selain skrip filem yang
cukup menarik.
"Apabila berlakon dalam filem ini saya dapat rasa diri saya berada
setingkat lebih tinggi kerana pelakon sekeliling saya semuanya
hebat-hebat.
"Mereka tidak lokek memberikan ilmu untuk saya menjadi pelakon yang
lebih baik. Ini antara filem yang saya tidak sabar untuk penonton beri
respons kerana saya buat sehabis baik," katanya tentang filem keempat
lakonannya itu.
|
Hero
Menerusi filem terbitan Tall Order Production Sdn. Bhd. tersebut,
Hans membawakan watak utama sebagai Ridzuan. Pada masa yang sama Hans
juga memegang tanggungjawab sebagai penulis skrip serta pengarah.
Walaupun ia turut dibintangi oleh barisan pelakon gred A seperti
Harun Salim Bachik, Awie, Natasha Hudson dan Khir Rahman, namun Hans
seperti tidak mahu memberi peluang kepada pelakon lain untuk memegang
watak utama.
Saat diajukan persoalan tersebut kepadanya, Hans menjawab: "Selepas
berfikir panjang, saya tidak melihat ada pelakon yang mampu menggalas
watak tersebut.
"Ini kerana watak Ridzuan itu sangat urban seperti diri saya sendiri.
Tidak ada pelakon lain yang sesuai untuk watak itu selain diri saya
sendiri."
Bercakap mengenai pemilihan pelakon pula, Hans mengatakan dia memilih
pelakon yang bersesuai dengan watak, bukannya popular semata-mata.
"Setiap watak yang saya pilih cukup sesuai dengan pelakon. Saya cukup
bertuah kerana mendapat pelakon-pelakon yang berjuang untuk industri
filem.
"Mereka memberikan yang terbaik. Tidak sukar untuk mengarahkan mereka
semua kerana mereka tahu apa yang perlu dilakukan di hadapan kamera,"
balasnya tentang filem yang diklasifikasikan sebagai PG13 (boleh
ditonton oleh kanak-kanak yang berumur 13 tahun ke bawah tetapi dengan
pengawasan ibu bapa) oleh Lembaga Penapisan Filem.
Filem Lemak Kampung Santan yang bakal ditayangkan pada Jun ini
bergenre komedi, drama dan misteri mengisahkan seorang pemuda bandar
Ridzuan (Hans Isaac) yang jatuh cinta dengan gadis kampung bernama Tiga
(Neelofa).
Ridzuan menyembunyikan identitinya, seorang pereka binaan dan dalam
proses membina sebuah resort di Kampung Santan. Projek itu memaksa semua
penduduk berpindah.
Bagaimanapun, terdapat misteri di Kampung Santan yang disembunyikan Tiga dan semua penduduk kampung tersebut.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan