TURIN, Itali – Bayern Munich memburu gelaran trebel musim ini selepas
mengesahkan slot ke separuh akhir Liga Juara-Juara setelah menewaskan
Juventus 2-0 pada aksi suku akhir kedua awal pagi semalam.
Skuad kendalian Jupp Heynckes itu mara dengan agregat 4-0 hasil
kemenangan 2-0 yang dicatat pada aksi suku akhir pertama di Allianz
Arena minggu lalu.
Pada perlawanan di Stadium Juventus itu, anak-anak buah Antonio Conte
beraksi dengan baik sebelum penyerang Croatia, Mario Mandzukic
meletakkan Bayern di depan pada minit ke-64 sebelum penyerang Peru,
Claudio Pizarro mengesahkan kemenangan pasukan pelawat apabila
menggandakan jaringan pada masa kecederaan.
Heynckes melontarkan pujian terhadap peningkatan yang dipamerkan anak-anak buahnya pada babak kedua.
“Kami berjaya melangkah ke separuh akhir, namun kami berdepan sebuah
pasukan yang kuat dan kami sudah meramalkan ia akan menjadi satu
pertarungan sengit pada aksi kedua ini,” kata Heynckes.
“Juve memberi banyak tekanan kepada kami pada babak pertama tetapi
pada babak kedua, kami berjaya bangkit untuk menampilkan aksi lebih
menyakinkan dan mula bermain mengikut rentak kami.”
Kejayaan itu memberi peluang kepada Bayern untuk menjulang gelaran
trebel musim ini selepas dinobatkan juara Liga Jerman ketika saingan
masih berbaki enam perlawanan selain turut mara ke separuh akhir Piala
Jerman.
Bagaimanapun, undian selepas ini bakal menyaksikan Bayern bertemu
antara pasukan hebat yang lain seperti Barcelona, Real Madrid dan
Borrusia Dortmund.
“Tidak kisah siapa yang akan kami jumpa, semua pasukan pada separuh akhir berpeluang memenanginya, termasuk kami.
“Ia bukan sesuatu yang mudah bagi semua pasukan. Saya jamin semua
pasukan akan menghormati kami setelah kami layak ke final dua kali dalam
masa tiga tahun,” kata Heynckes.– AFP
Tiada ulasan:
Catat Ulasan