Jumaat, 19 April 2013

Harimau Muda gagal lunas dendam


IRFAN menjaringkan gol pembukaan Harimau Muda ketika tewas 2-3 kepada MSK Zilina kelmarin.


DENDAM Harimau Muda terhadap kelab Slovakia, MSK Zilina masih belum berbalas.

Selepas dikecewakan Zilina dengan kekalahan 1-4 sebelum ini, skuad kendalian Ong Kim Swee gagal menebus kekecewaan itu apabila sekali lagi tumpas 2-3 kepada lawan yang sama kelmarin.

Kekalahan itu juga menyaksikan skuad muda negara masih gagal memburu kemenangan sulung sepanjang 'berguru' di Eropah kali ini apabila dibelasah 1-7 oleh skuad bawah 21 tahun (B-21) Georgia, selain sekadar melakar keputusan seri 1-1 serta 0-0 dengan skuad B-19 Slovakia dan B-19 Norway sebelum ini.

Meskipun tewas kelmarin, Kim Swee memuji kebangkitan semangat juang pemainnya, terutamanya pada babak kedua.

"Tewas kali kedua kepada Zilina di tempat lawan, namun prestasi yang lebih yakin ditunjukkan pemain kali ini.

"Kesungguhan dan pergerakan yang lebih teratur pada separuh masa kedua berjaya menghasilkan dua gol," kata Kim Swee menerusi Twitter peribadinya semalam.

Dalam aksi kelmarin, gol-gol Harimau Muda dicetak kapten pasukan, Irfan Fazail dan Muhammad Ferris Danial Mat Nasir.
Justeru, Kim Swee mahu anak-anak buahnya mempelajari sesuatu menjelang misi utama mempertahankan pingat emas temasya Sukan SEA di Myanmar, Disember depan.

"Corak permainan yang konsisten, konsentrasi, disiplin dan kekuatan fizikal dan mental merupakan antara ciri untuk kita berjaya pada peringkat yang lebih tinggi.

"Kefahaman tentang aspek taktikal amat penting buat setiap pemain apabila menghadapi situasi berbeza dalam setiap perlawanan," kata Kim Swee.

Untuk rekod, siri ujian persahabatan itu merupakan medan pemanas badan skuad muda negara sepanjang berguru selama lima bulan di Slovakia sebagai persiapan awal mempertahankan pingat emas pada temasya Sukan SEA 2013.

Mereka dijangka mengadakan beberapa ujian persahabatan lagi di sana selepas ini apabila hanya kembali ke tanah air sebelum Aidilfitri.

Selain dijadualkan mengharungi Pestabola Merdeka, (Ogos), Harimau Muda juga membawa cabaran negara dalam temasya Sukan Universiti Dunia (Universiade) 2013 di Kazan, Rusia dari 6 hingga 17 Julai depan.

Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my

Tiada ulasan:

Catat Ulasan