MUNICH - Bayern Munich semakin hampir untuk menjejakkan kaki ke final
buat kali ketiga dalam tempoh empat tahun selepas membelasah Barcelona
4-0 pada aksi separuh akhir pertama Liga Juara-Juara awal pagi semalam.
Berbeza dengan Barcelona, kekalahan di Allianz Arena itu adalah yang
terburuk sejak tewas 0-4 kepada Dynamo Kiev pada aksi peringkat kumpulan
tahun 1997.
Pada perlawanan awal pagi semalam, pemain tengah Jerman, Thomas
Mueller meletakkan Bayern di depan pada minit ke-25 sebelum menjaringkan
gol kedua minit ke-82.
Penyerang Jerman, Mario Gomez dan pemain sayap Belanda, Arjen Robben
turut melakar nama sebagai penjaring apabila masing-masing meledakkan
gol kedua serta ketiga Bayern pada minit ke-49 dan ke-73.
Kini, pendahulu Liga Sepanyol itu memerlukan keajaiban untuk mencatat
kemenangan besar pada pertemuan kedua di Stadium Nou Camp pada 1 Mei
depan.
Kekalahan itu telah mencalar reputasi Barcelona selaku antara kelab gergasi Eropah sejak beberapa tahun kebelakangan ini.
Untuk rekod, Barcelona tewas 0-2 kepada AC Milan pada aksi suku akhir
pertama tetapi mencipta kebangkitan dramatik untuk menewaskan kelab
gergasi Itali itu 4-0 pada aksi kedua di gelanggang sendiri.
Bayern pasti tidak mahu situasi seperti itu berulang sekali lagi.
"Kami sedar bahawa kami mampu memberi saingan kepada mereka.
"Pasukan itu (Barca) telah mendominasi saingan bola sepak Eropah sejak beberapa tahun lalu.
"Jika anda mampu menewaskan mereka, ia pasti satu detik yang paling indah," kata pemain sayap Bayern, Robben.
Sementara itu, Barcelona tetap menyenaraikan Lionel Messi dalam
kesebelasan utama pasukan itu walaupun tahap kecergasannya masih
meragukan kerana baru pulih daripada kecederaan.
Bagaimanapun, bintang sensasi Argentina itu tetap menampilkan aksi cemerlang.
Pada perlawanan tersebut, Barca memperoleh beberapa peluang terbaik
untuk menjaringkan gol tetapi Bayern bijak mengambil peluang untuk
merobek gawang skuad The Catalans itu. - AP
Tiada ulasan:
Catat Ulasan