LONDON - Pengurus Arsenal, Arsene Wenger menegaskan, pasukan
kendaliannya itu masih berada di landasan yang betul untuk layak ke Liga
Juara-Juara meskipun mereka terikat 0-0 dengan Everton semalam.
Arsenal mempunyai peluang untuk melebarkan jurang dengan kelebihan
empat mata ke atas kelab di tangga kelima Liga Perdana England,
Tottenham Hotspur sekiranya mereka menewaskan Everton semalam.
Begitupun, Arsenal yang terpaksa bergelut dengan asakan fizikal
pasukan pelawat ternyata menghampakan penyokong mereka biarpun beraksi
di laman sendiri, Stadium Emirates pada aksi ke-33 liga domestik itu.
Perebutan untuk berada dalam kelompok empat teratas dilihat semakin
sengit bukan sahaja membabitkan Arsenal dan Tottenham, malah Chelsea
yang kini berada di tangga keempat.
Bagaimanapun, Chelsea kurang dua perlawanan berbanding Arsenal kerana
kelab bimbingan Rafa Benitez itu sibuk dengan kempen Piala FA dan Liga
Europa sebelum ini.
Tottenham pula kurang satu perlawanan berbanding Arsenal dan jika
mencatat kemenangan, mereka akan terus melonjak ke tangga ketiga atau
keempat.
Namun bagi Wenger, beliau percaya skuad bimbingannya itu mampu mengatasi situasi tersebut.
"Kami seharusnya memenangi perlawanan ini. Apa pun, kami masih kekal dalam posisi untuk merebut kelompok empat teratas.
"Kami telah mempamerkan aksi yang baik dengan semangat yang kuat.
Kami mensia-siakan dua mata tetapi jika kami menang dalam perlawanan
seterusnya kami tetap akan berada di situ.
"Memang benar, pencabar lain mempunyai kelebihan jumlah baki
perlawanan tetapi mereka akan menentang antara satu sama lain.
Kepercayaan saya masih kuat dan saya yakin kami akan melakukannya," kata
Wenger.
Menurut pengendali dari Perancis itu, Arsenal mempunyai keupayaan
untuk menghadapi tekanan seperti mana penampilan anak-anak buahnya
ketika berdepan dengan corak permainan pemain-pemain Everton yang
terlalu agresif.
Wenger mendakwa, taktik yang digunakan akan menjadi sekiranya pemain
tengah Everton, Darron Gibson dibuang padang ekoran siri kekasarannya
pada separuh masa pertama. - AFP
Tiada ulasan:
Catat Ulasan