LONDON - Pengurus Arsenal, Arsene Wenger melancarkan perang psikologi
menjelang aksi Liga Perdana England menentang Manchester United di
Stadium Emirates malam ini.
Wenger berkata, bekas penyerang skuad The Gunners, Robin van Persie tidak layak untuk dinobatkan sebagai Pemain Terbaik Liga Perdana England tahun ini.
Sebaliknya, pengendali Perancis itu menegaskan bahawa pemain tengah
United, Michael Carrick lebih layak untuk memenangi anugerah berprestij
itu.
"Saya memilih Carrick. Dia sepatutnya bermain di Barcelona kerana dia
sangat sesuai dengan corak permainan di kelab gergasi Sepanyol itu.
"Dia turut memiliki visi yang baik dan merupakan seorang pemain yang
pintar. Pada pendapat saya, Carrick lebih berhak untuk menerima anugerah
itu berdasarkan pencapaian dalam kariernya," kata Wenger.
Untuk rekod, van Persie yang meledak 24 gol sepanjang 31 perlawanan
musim ini membantu United menjulang gelaran liga ke-20 selepas berhijrah
daripada Arsenal dengan bayaran berjumlah £22 juta (RM112 juta) pada
musim panas lalu.
Penyerang Belanda berusia 29 tahun itu dijangka menerima sambutan
'hangat' sebaik menjejakkan kaki ke Stadium Emirates malam ini.
Bagaimanapun, Wenger mendakwa Carrick, 31, sepatutnya berada dalam senarai pemain terbaik tahun ini.
"Van Persie pernah mengalami kemarau gol. Selain itu, Luis Suarez
(penyerang Liverpool) yang meledakkan 23 gol digantung 10 perlawanan.
"Pemain sayap Tottenham Hotspur, Gareth Bale mempamerkan prestasi
cemerlang tetapi saya fikir Carrick antara pemain England yang
dipinggirkan meskipun dia menunjukkan persembahan yang memberangsangkan.
"Kadang-kadang, anugerah ini tidak boleh diberikan kepada penyerang
sahaja tetapi sepatutnya disampaikan kepada pemain yang betul-betul
membantu pasukan dan Carrick berhak untuk mendapat anugerah itu.
"Saya akan memilih Carrick kerana van Persie telah memenangi tahun
lalu. Carrick merupakan pemain perancang yang cukup cemerlang tahun
ini," katanya. - Agensi
Tiada ulasan:
Catat Ulasan