BARCELONA - Pemain terbaik dunia, Lionel Messi telah disenaraikan
dalam skuad Barcelona menjelang pertemuan separuh akhir pertama Liga
Juara-Juara dengan Bayern Munich awal pagi esok.
Bintang Argentina itu menjalani latihan penuh bersama skuad Barca
kelmarin dan meskipun masih belum cergas sepenuhnya daripada masalah
hamstring, dia tetap disenaraikan dalam skuad The Catalan itu.
"Lionel Messi telah menjalani latihan seperti biasa pagi Ahad
(kelmarin) dan walaupun masih belum pulih sepenuhnya, dia akan tetap
disenaraikan dalam skuad Barcelona bagi pertemuan Liga Juara-Juara
dengan Bayern Munich.
"Hanya tiga pemain yang tidak disenaraikan dalam skuad ini iaitu
Javier Mascherano dan Carles Puyol yang mengalami kecederaan dan Adriano
yang menjalani penggantungan," jelas kenyataan Barca.
Messi dijangka diturunkan pada aksi awal pagi esok meskipun dia tidak
bermain sejak saingan suku akhir Barca menentang Paris Saint-Germain
(PSG) pada 10 April lepas.
Sementara itu, Cesc Fabregas yang menggalas tugas Messi sepanjang
ketiadaan pemain itu menjelaskan, dia bersedia diletakkan di bangku
simpanan sekiranya Messi disahkan boleh beraksi.
Fabregas yang menjaringkan gol kemenangan Barca ke atas Levante, Ahad
lepas berkata: "Lionel sudah bersedia diturunkan di Munich nanti. Dia
adalah tonggak utama kami dan pasukan ini lebih selamat jika dia
diturunkan seperti yang dilakukannya ketika menentang PSG.
"Leo mampu membawa perubahan dalam permainan. Saya boleh terima kalau
saya diletakkan di bangku simpanan kerana Leo seorang pemain yang
penting." - AFP
Tiada ulasan:
Catat Ulasan