Khamis, 4 April 2013

Kelantan waspada ancaman Sarawak



BADHRI (tengah) mengingatkan rakan sepasukannya agar tidak memandang mudah aksi menentang Sarawak di Kota Bharu malam esok.


KELANTAN perlu mempamerkan corak permainan seperti ketika mereka membenam cabaran SHB Da Nang pada aksi Piala AFC, Selasa lalu apabila dijadualkan melayan kunjungan Sarawak pada saingan suku akhir Piala FA di Stadium Sultan Muhammad ke-IV, Kota Bharu malam esok.

Ketua pasukan, Badhri Radzi memberitahu, atas kertas, The Red Warriors selaku penyandang juara sudah pastinya menjadi pasukan pilihan untuk memenangi perlawanan berkenaan namun beliau tidak mahu rakan-rakan lain terlalu dibuai dengan pencapaian musim lalu.

Menurutnya, berada dalam kelompok dua pasukan teratas Liga Premier dan mengekalkan rekod tanpa kalah setakat ini, membuktikan bahawa Sarawak merupakan sebuah pasukan yang tidak boleh dipandang mudah terutama ketika saingan memasuki peringkat suku akhir.

“Walaupun beraksi dalam Liga Premier, tahap permainan Sarawak setanding dengan pasukan Liga Super, tidak mudah untuk menundukkan mereka. Sebelum ini kita telah beberapa kali menentang mereka, dan setiap kali pertemuan, ia perlawanan yang sukar untuk kita.

“Mengambil mudah cabaran Sarawak ketika aksi di tempat sendiri bermakna kita menempah laluan sukar kerana mereka cukup kebal apabila bermain di gelanggang sendiri untuk aksi timbal balas. Saya fikir semua pemain perlu bersedia untuk menghadapi sebarang kemungkinan itu,” katanya ketika ditemui semalam.

Tambahnya, gol awal mungkin akan memberikan kelebihan kepada pasukannya untuk memberikan tekanan kepada pasukan Sarawak selain perlu menjaringkan lebih daripada dua gol serta mempertahankan gawang daripada dibolosi untuk menjamin bekalan selesa ketika bertandang ke Kuching nanti.

Katanya, beliau dan rakan sepasukan kini sedang fokus untuk menyingkirkan Sarawak terlebih dahulu sebelum memikirkan lawan yang akan ditentang pada saingan separuh akhir nanti.

“Sama ada Negeri Sembilan atau Terengganu yang akan kita jumpa di separuh akhir itu tak penting. Ini bukan masa yang sesuai untuk kita fikirkan perkara itu, apa yang penting kita perlu selesaikan perlawanan satu persatu. 

“Saya fikir Sarawak akan turun dengan aksi terbaik mereka. Mereka adalah sebuah pasukan yang kuat musim ini terutama dengan kombinasi pemain yang ada seperti Joseph Kalang Tie, Mafri Balang, dan ketua pasukan mereka, Guy Bwele,” ujarnya.

Jelasnya, Joseph Kalang mempunyai kekuatan yang tersendiri terutama menghidupkan jentera tengah selain mampu melakukan percubaan yang berbahaya selain penyerang import Sarawak, Ivan Babic yang belum diketahui sejauh mana keupayaan yang mampu memusnahkan impian Kelantan.

Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my

Tiada ulasan:

Catat Ulasan