Selasa, 23 April 2013

City mangsa amukan Spurs



BALE (kanan) bijak melambungkan bola di celah tangan penjaga gol City, Joe Hart untuk mencetak gol ketiga buat Spurs kelmarin. Spurs menang 3-1.


LONDON - Pengendali Tottenham Hotspur, Andre Villas-Boas memberi amaran kepada Arsenal dan Chelsea bahawa Spurs berada dalam keadaan selesa untuk menamatkan saingan Liga Perdana England musim ini di tangga keempat.

Beliau menyuarakan keyakinan tersebut selepas menyaksikan Spurs melakukan kebangkitan dramatik membenam juara bertahan, Manchester City 3-1 di White Hart Lane kelmarin.

Sebelum itu, City mendahului tuan rumah 1-0 seawal minit kelima dan kedudukan itu kekal sehingga perlawanan berbaki 15 minit untuk ditamatkan.

Tiga pemain tonggak Spurs, Clint Dempsey, Jermain Defoe dan Gareth Bale masing-masing meledakkan satu gol dalam tempoh 15 minit untuk Spurs melakukan kebangkitan yang menakjubkan.

Bagaimanapun, Spurs masih menduduki tangga kelima carta Liga Perdana, namun mereka hanya dipisahkan satu mata kepada Chelsea yang berada di tangga keempat serta dua mata kepada pasukan tangga ketiga, Arsenal.

"Kebangkitan dramatik itu sangat bermakna kepada kami. Itu bermakna, kami kini berada dalam momentum terbaik untuk mengakhiri musim ini kerana memiliki satu perlawanan dalam tangan berbanding Arsenal. Perlawanan tersebut adalah menentang The Blues.

"Jadi, kami berada dalam situasi terbaik sekali lagi," jelas Villas-Boas.
Dalam perlawanan menentang City itu, Spurs ketinggalan seawal minit kelima menerusi jaringan Samir Nasri.
Namun, Villas-Boas tidak cepat panik, sebaliknya beliau membawa masuk tiga pemain gantian Defoe, Tom Huddlestone dan Lewis Holtby untuk merubah tempo permainan dalam usaha layak ke Liga Juara-Juara. - Agensi

Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my

Tiada ulasan:

Catat Ulasan