BARCELONA – Penolong jurulatih Barcelona, Jordi Roura memuji keazaman
Lionel Messi selepas Pemain Terbaik Dunia itu membantu skuad The
Catalan mara ke separuh akhir Liga Juara-Juara musim ini.
Barcelona menyingkirkan Paris Saint-Germain (PSG) meskipun kedua-dua
pasukan terikat 1-1 pada aksi suku akhir kedua di Stadium Nou Camp awal
pagi semalam.
Mereka terikat dengan agregat 3-3 tetapi skuad The Catalan mara
dengan kelebihan jaringan di tempat lawan selepas seri 2-2 pada aksi
suku akhir pertama di Parc des Princes minggu lalu.
Pada perlawanan awal pagi semalam, Barcelona cemas seketika selepas
ketinggalan 0-1 hasil jaringan Javier Pastore pada minit ke-50 tetapi
Messi yang masuk pada babak kedua berjaya memberi impak, sekali gus
membantu pasukan tuan rumah menyamakan kedudukan menerusi Pedro pada
minit ke-71.
“Kami memberitahu sebelum ini jika semuanya tidak berjalan dengan baik, Messi akan dimasukkan.
“Messi seorang pemain yang penting dan kehadirannya di atas padang
berjaya memberi impak kepada corak permainan, terutamanya selepas kami
ketinggalan satu gol.
“Sekali lagi dia membuktikan semangat dan keazaman yang tinggi
meskipun masih belum pulih sepenuhnya daripada kecederaan hamstring.
“Tindakannya itu harus diberi pujian yang tinggi,” kata Roura.
Roura berkata, PSG berjaya menguasai keseluruhan permainan pada babak
pertama dan memiliki beberapa peluang terbaik untuk menjaringkan gol.
“Sekali lagi kami telah menunjukkan keberanian. Mara ke separuh akhir
buat kali keenam berturut-turut adalah suatu pencapaian yang hebat.
“Bagaimanapun, masih ada beberapa perkara yang perlu kami perbaiki
tetapi buat masa ini kami mahu meraikan kejayaan ke separuh akhir
terlebih dahulu.
“Kami akan berehat beberapa hari sebelum memikirkan tentang strategi
untuk menghadapi aksi separuh akhir nanti,” ujar Roura. – AFP
Tiada ulasan:
Catat Ulasan