MANCHESTER - Pengurus Manchester United, Alex Ferguson tidak bimbang
mengenai kelewatan skuad The Red Devils untuk mengesahkan kejuaraan Liga
Perdana England musim ini.
Ferguson berkata, beliau begitu optimis bahawa United akan menjulang trofi liga ke-20 itu.
United dikejutkan dengan kekalahan 1-2 kepada musuh sejiran,
Manchester City Isnin lalu namun skuad The Red Devils masih selesa di
kedudukan teratas dengan 12 mata ketika saingan berbaki tujuh
perlawanan.
Pemain sayap United, Antonio Valencia mengakui terdapat sedikit
kegelisahan dalam kalangan pemain dan peminat-peminat United kerana
mereka tidak mahu peristiwa sama tahun lalu berulang sekali lagi.
Bagaimanapun, Ferguson tampil meredakan keadaan apabila meminta
mereka untuk tidak berasa bimbang kerana beliau sudah mengkaji perkara
tersebut dengan teliti dan mahu semua pemain fokus terhadap baki
perlawanan bermula dengan lawatan ke Stoke City malam ini.
"Perkara paling utama adalah keyakinan dalam diri setiap pemain
United dan bagi saya, saya yakin 100 peratus (akan bergelar juara).
"Cabaran untuk bergelar juara liga bermula sejak awal musim lagi dan
pada kali ini konsistensi pasukan sangat baik. Sudah pasti tiada sesiapa
yang dapat menghalang kami," jelas Ferguson.
Cabaran United bermula dengan kunjungan ke Stoke malam ini diikuti
aksi di gelanggang lawan menentang West Ham United pada pertengahan
minggu depan.
Mereka akan menanti kunjungan pasukan yang sedang bergelut di
kelompok bawahan liga, Aston Villa pada minggu berikutnya sebelum
menghadapi empat perlawanan terakhir iaitu bertandang ke Arsenal,
menanti kehadiran Chelsea, Swansea dan akhir sekali berkunjung ke West
Bromwich Albion.
Dalam pada itu, untuk mengesahkan kejuaraan liga, United hanya perlu
menang tiga kali dan seri sekali daripada baki tujuh perlawanan
tersebut.
"Saya fikir, kami memiliki baki perlawanan yang menarik. Musim ini sangat baik buat kami," tambah Ferguson lagi.
- Agensi
Tiada ulasan:
Catat Ulasan