|
"SAYA masih lagi tunangan Firos Ezzwan Rossly dan hubungan kami tetap bahagia tanpa sebarang masalah!"
Itulah kenyataan yang keluar daripada mulut penyanyi Samihah@Aisah
Omar atau lebih sinonim dengan panggilan Misha Omar saat diajukan
pertanyaan mengenai status hubungan dengan tunangnya itu.
Misha yang ditemui pada majlis pelancaran teater Nyonya & The
Gang di Istana Budaya, Kuala Lumpur pada minggu lalu, menyatakan
terdapat segelintir pihak yang mempersoalkan tentang hubungannya dengan
Firos apabila mereka sekali lagi mengambil keputusan untuk menangguhkan
perkahwinan.
Penyanyi itu berkata, setelah perbincangan dilakukan, dia dan Firos
terpaksa menangguhkan lagi perkahwinan mereka yang sepatutnya
berlangsung pada tahun ini setelah tertangguh pada tahun lalu.
"Kalau ikut perancangan kami sepatutnya diijabkabulkan pada September
2012, tetapi tidak terlaksana kerana Firos agak sibuk menjalani kelas
penerbangan untuk membawa pesawat Airbus.
"Kami kemudian telah sepakat untuk berkahwin pada tahun ini. Namun,
melihat kepada jadual kerjaya masing-masing yang sangat padat akhirnya
kami merasakan perlu menangguhkan sekali lagi perkahwinan kami," ujarnya
yang mengikat tali pertunangan dengan Firos pada 21 Februari 2012.
Mengulas lanjut mengenai hubungannya dengan Firos, penyanyi itu
menafikan sekeras-kerasnya mereka sedang berantakan. Sebaliknya, cinta
dan kasih antara mereka berdua masih lagi kekal seperti sedia kala.
Menurut Misha, dia sendiri tidak menyangka keputusan untuk
menangguhkan perkahwinannya itu telah menyebabkan timbul dakwaan yang
menyatakan hubungan mereka sudah pun berakhir.
"Apa yang boleh saya cakap memang tiada rezeki kami untuk mendirikan
rumah tangga pada tahun ini. Dakwaan yang menyatakan hubungan kami sudah
putus pula memang tidak berasas.
"Saya tidak nafikan jadual kerjaya kami berdua yang sangat padat
menjadi punca kepada penangguhan perkahwinan kami. Namun begitu, saya
bersyukur kerana kami saling memahami kerjaya masing-masing dan sebab
itu tidak pernah timbul sebarang konflik," jelasnya.
Ketika ditanya bilakah dia dan Firos akan mendirikan rumah tangga,
kata Misha, mereka masih belum lagi mendapat tarikh yang sesuai.
Bagaimanapun, dia sangat berharap agar dapat bergelar isteri pada tahun
hadapan.
Ujarnya, pada usia yang sudah mencecah 31 tahun sekarang ini, sudah
tentu perkahwinan merupakan impian yang paling utama dan
seboleh-bolehnya dia tidak mahu menunggu terlalu lama untuk bergelar
isteri.
"Dugaan yang kami lalui sekarang ialah masa dan tugas serta kami
tidak kerap sangat berjumpa kerana tugasnya sebagai juruterbang,
manakala saya pula memberi tumpuan kepada karier seni.
"Bagi kami langkah terbaik yang perlu dilakukan adalah memberi fokus
kepada kerjaya masing-masing terlebih dahulu. Setelah semua urusan kerja
kami berkurangan barulah kami boleh membuat segala persiapan untuk
perkahwinan pula," ujarnya.
Dengan harapan agar perkahwinannya itu tidak lagi ditangguhkan, Misha
menyatakan dia akan cuba mengurangkan aktiviti seninya pada tahun
hadapan supaya impiannya bergelar isteri tercapai.
Enggan komen
Selain kisah perkahwinannya yang terpaksa ditangguhkan diperkatakan
ramai, Misha terbabit pula dengan kontroversi mengenai lagu nyanyiannya
iaitu Angin Syurga.
Baru-baru ini lagu nyanyiannya itu yang dicalonkan dalam rancangan
Muzik Muzik di TV3 telah dikeluarkan, meskipun baru seminggu tercalon
sehingga menimbulkan pertanyaan ramai pihak.
Ketika diminta memberi komen mengenai perkara tersebut, penyanyi itu
menyatakan dia tidak dapat memberikan sebarang komen kerana ia
membabitkan pihak TV3 dan syarikat rakaman Sony Music Malaysia.
"Mengenai perkara ini saya terima keputusan yang dibuat dengan hati
yang terbuka, cuma saya enggan komen kerana tidak mahu sebarang
kenyataan saya nanti akan diputarbelit segelintir pihak yang tidak
bertanggungjawab.
"Apa yang saya tahu penarikan lagu Angin Syurga ini telah mendapat
persetujuan daripada semua pihak dan tiada isu-isu lain yang berkaitan.
Saya rasa perkara ini tidak perlulah diperbesar-besarkan lagi,"
tegasnya.
Tidak menafikan ramai pihak terutamanya peminat yang bertanya serta
ada tanggapan segelintir pihak yang menyatakan dia takut kalah ketika
bersaing di pentas Anugerah Juara Lagu, penyanyi itu tidak mahu terlalu
memikirkan sangat mengenainya.
"Kalau saya terlalu ambil kisah tentang apa yang orang cakap, sudah
tentu saya sendiri yang akan rasa tertekan. Jadi, lebih baik saya fokus
sahaja terhadap kerjaya sekarang," ujarnya.
Album baharu
Bercerita tentang perkembangan kerjaya pula, Misha memberitahu dia bakal melahirkan album baharu yang akan dilancarkan pada bulan hadapan setelah tampil dengan album terakhir pada tahun 2008.
Menurut Misha, untuk album tersebut dia masih lagi mengekalkan konsep pop dan mendapat kerjasama dengan beberapa komposer hebat seperti Datuk M. Nasir, Tam Spider dan Tony Spider.
"Dalam album baharu saya ini terdapat lapan buah lagu, antaranya Angin Syurga, Kabus Dan Masa dan Untuk Bermimpi. Setakat ini sudah 90 peratus disiapkan.
"Saya begitu yakin dan percaya dengan kolaborasi bersama beberapa komposer hebat untuk penerbitan album ini, semua lagu-lagu dalam album ini akan diterima baik oleh pendengar," ujarnya.
Berkenaan dengan dunia lakonan pula, Misha memberitahu dia baru selesai menjalani penggambaran drama arahan Erma Fatima berjudul Nur Kasih Di Jabbal Rahmah pada Februari lalu.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan