MUSIM lalu, hasrat Angkatan Tentera Malaysia (ATM) untuk memburu
‘bonus tambahan’ sebaik muncul juara Liga Premier tidak kesampaian
apabila dijinakkan Kelantan pada final Piala Malaysia.
Berjaya menepati sasaran awal layak ke saingan Liga Super musim ini,
impian pengendali The Gladiators, B. Sathianathan tidak terhenti setakat
itu.
Buktinya, mereka berjaya melunas dendam terhadap Kelantan apabila
menjulang trofi Piala Sultan Ahmad Shah (Piala Sumbangsih) pada awal
musim ini.
Selain berhasrat mahu menempatkan diri dalam kelompok tiga pasukan
terbaik Liga Super musim ini, Sathianathan tidak menyembunyikan hasrat
untuk sekurangkurangnya mendakap satu lagi trofi musim ini.
Dalam aksi Liga Super, ATM yang kini di tangga keempat dengan 18 mata
masih ketinggalan lima mata di depan peneraju liga, Lions XII (sebelum
aksi malam tadi).
Namun, mereka boleh melupakan impian menjulang trofi Piala FA apabila
terkandas seawal pusingan pertama selepas tumpas menerusi penentuan
sepakan penalti kepada Selangor dalam aksi yang penuh kontroversi
sebelum ini.
Ternyata, kekalahan itu terpaksa dibayar dengan harga yang cukup
mahal oleh ATM apabila terpaksa melupakan khidmat beberapa tonggak utama
seperti Shukor Adan, Fitri Omar, G. Jeevananthan dan R. Surendran dalam
beberapa perlawanan liga selepas didapati bersalah bertelagah dengan
pemain Selangor ketika itu.
Mahu atau tidak, hanya Piala Malaysia sahaja yang tinggal untuk
dikucup barisan skuad The Gladiators musim ini sekiranya gagal mengejar
kedudukan Lions XII di singgahsana liga.
“Selain satu trofi, saya juga berharap kami berjaya menamatkan saingan dalam kelompok tiga pasukan terbaik Liga Super.
“Ia bukan sesuatu yang mustahil kerana saya percaya barisan pemain
ATM pastinya mahu menjadikan ia bukan sekadar impian,” katanya kepada
Kosmo! Ahad baru-baru ini.
‘Kuda Tua’ kekal jadi taruhan Sathianathan
BIARPUN tidak lagi dibarisi beberapa pemain utama seperti Zaquan Adha
Abdul Razak, Aidil Zafuan Abdul Razak dan Azmi Muslim yang berhijrah ke
Johor Darul Takzim musim ini, Sathianathan tidak mudah melatah.
Sebaliknya, resipi kejayaan beliau yang menaruh keyakinan terhadap
‘kuda tua’ seperti Marlon Alex James, Hairuddin Omar, Rezal Zambery
Yahya dan Irwan Fadzli Idrus tampak menjadi.
Pada masa sama, bekas pemain kebangsaan, Mohd. Nizaruddin Yusof, 33,
juga dikhabarkan bakal menyarung jersi The Gladiators sebelum jendela
pendaftaran pemain ditutup 22 April ini.
“Saya percaya Nizaruddin masih mempunyai sentuhan penyudah berkesan dan bakal menjadi antara watak penting kami musim ini.
“Ketika ini, proses mendapatkan Nizaruddin dilihat berjalan lancar
dan jika tiada aral dia akan menyertai kami dalam masa terdekat,” kata
Sathianathan.
Selain magis yang dimiliki pemain veteran, sentuhan pemain muda ATM
seperti Affizie Faisal Mamat, K. Reuben dan Amirizwan Taj Tajuddin juga
mampu memastikan hasrat Sathianathan bukan sekadar mimpi indah musim
ini.
Kerapuhan benteng ATM meresahkan
BEGITUPUN, Sathianathan tidak dapat menyembunyikan kebimbangannya
terhadap kerapuhan benteng pertahanan ATM yang bolos sebanyak 13 kali
dalam saingan liga musim ini.
Menurutnya, ia satu perkembangan negatif dan wajar diperbaiki segera jika enggan berputih mata kali ini.
“Ia sesuatu yang cukup berbeza berbanding musim lalu, ini tidak sepatutnya berlaku.
“Saya enggan menyalahkan mana-mana pemain secara individu berhubung
perkara ini, jadi ia perlu diatasi secara menyeluruh dengan kerjasama
sepasukan.
“Kami perlu memastikan benteng pertahanan tidak lagi goyah seperti mana yang kami buktikan musim lalu,” kata Sathianathan.
Sathianathan memberitahu, kekuatan ATM sewajarnya seimbang dalam
segenap posisi dan ia perlu dikekalkan secara konsisten dalam setiap
perlawanan.
ATM dekati peminat
DALAM pada itu, Sathianathan juga gembira dengan komitmen yang
dipamerkan anak-anak buahnya menunaikan tanggungjawab sosial mendekati
peminat seperti mana di Bagan Datoh, Perak baru-baru ini.
“Apabila pemain mendekati peminat dalam mana-mana klinik bola sepak,
ia secara tidak langsung memupuk semangat barisan pemain pelapis.
“Komitmen yang ditunjukkan kesemua pemain yang terlibat wajar dipuji, saya cukup bangga dengan mereka.
“Ia akan diteruskan dari semasa ke semasa, mungkin selepas ini akan
diadakan di Port Dickson, Negeri Sembilan sebaik saingan liga tamat,”
jelasnya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan