Rabu, 24 April 2013

Misi balas dendam


DI MARIA (kanan) optimis Real akan menewaskan Dortmund pada aksi separuh akhir pertama Liga Juara-Juara di Signal Iduna Park awal pagi esok.


DORTMUND - Pemain sayap Real Madrid, Angel Di Maria optimis akan menewaskan Borussia Dortmund pada aksi separuh akhir pertama Liga Juara-Juara di Signal Iduna Park awal pagi esok.

Di Maria berkata, dia dan rakan-rakan sepasukannya memperoleh pengajaran yang berguna selepas tewas 1-2 di stadium sama pada aksi Kumpulan D lalu sebelum sekadar seri 2-2 di Stadium Santiago Bernabeu.
Justeru, Di Maria yakin mereka tidak akan mengulangi kesilapan yang sama pada pertemuan kali ini.

"Kami tidak berada pada prestasi terbaik ketika menghadapi kedua-dua aksi peringkat kumpulan menentang Dortmund.

"Segala-galanya berbeza sekarang. Kini, benteng pertahanan kami dilihat semakin ampuh dan keyakinan kami semakin tinggi," kata- nya.

Di Maria memberitahu, mereka perlu berwaspada dengan corak permainan serangan pantas skuad kendalian Jurgen Klopp bagi memperoleh bekalan selesa sebelum menghadapi aksi separuh akhir kedua di gelanggang sendiri minggu depan.

"Atas kertas, keupayaan Dortmund dilihat seimbang berbanding kami kerana kedua-dua pasukan gemar melakukan serangan pantas yang cukup berbahaya.

"Kami sudah menghadapi pengalaman seperti itu. Jadi, kami perlu memberikan aksi seratus peratus kerana prestasi semasa Dortmund benar-benar mengagumkan," kata Di Maria.

Rakan sepasukan Di Maria iaitu Raphael Verene turut menggesa pemain-pemain Real supaya berhati-hati dengan corak serangan pantas yang diamalkan Dortmund.

"Dortmund pasukan yang kuat dan mereka tidak akan mara sejauh ini semata-mata kerana nasib.
"Mereka gemar melakukan serangan pantas. Jadi, kami perlu tampil dengan aksi yang memberangsangkan," kata Verene. - AFP

Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my

Tiada ulasan:

Catat Ulasan