Selasa, 23 April 2013

'Jangan mudah rasa selesa'



IRFAN (tiga dari kanan) bersama rakan sejawatnya, Morgan pada sidang akhbar menjelang aksi Kumpulan H kempen Piala AFC 2013 di Stadium Shah Alam semalam.


ADA mesej positif yang mahu disampaikan pengendali Selangor, Irfan Bakti Abu Salim kepada anak-anak buahnya ketika melayan kunjungan kelab India, East Bengal dalam aksi Kumpulan H kempen Piala AFC 2013 di Stadium Shah Alam malam ini.

Berdepan ‘misi hidup dan mati’ memandangkan hanya kemenangan yang mampu menghidupkan sisa-sisa peluang pasukannya mara ke pusingan kedua, Irfan menuntut anak-anak buahnya supaya mengikis sikap sambil lewa terutama ketika mendahului lawan dalam mana- mana perlawanan.

Menurut beliau, ‘penyakit lama’ itu dilihat menyelubungi segelintir pemain Gergasi Merah terutama ketika ditunjukkan jalan keluar oleh Johor Darul Takzim pada suku akhir Piala FA baru-baru ini.

“Saya perhatikan ada pemain yang tidak memberikan sepenuh komitmen terutama ketika mendahului lawan dalam beberapa perlawanan sebelum ini.

“Tuhan marah jika kita riak, justeru ia tidak sepatutnya berlaku terutama ketika berdepan pasukan yang kuat seperti East Bengal,” katanya pada sidang akhbar di Stadium Shah Alam semalam.

Irfan memberitahu, beliau optimis moral anak-anak buahnya berada pada tahap terbaik dan telah pun melupakan kekecewaan tersingkir dalam saingan Piala FA sebelum ini.

Pada masa yang sama katanya, beliau kekal mempercayai polisi penggiliran pemain memandangkan memiliki tugas getir melayan kunjungan peneraju Liga Super, Lions XII di stadium yang sama Sabtu ini.

“Pemain tampak keletihan ekoran jadual perlawanan yang cukup padat, segala-galanya dilihat serba tidak menjadi dalam beberapa perlawa- nan sebelum ini. Justeru, saya perlu melakukan penggiliran pemain bagi mengelak sebarang kesulitan.

“Esok (malam ini), saya hanya boleh menurunkan seorang pemain import iaitu Michel Kubala ketika berdepan East Bengal memandangkan Peter Chrappan digantung perlawanan manakala Francis Forkey Doe pula masih di- belenggu kecederaan.

“Selain itu, Nasriq Baharom, Mohd. Afiq Azmi serta penjaga gol, Norazlan Razali juga kurang cergas dan belum pasti dapat diturunkan (malam ini),” katanya.

Dengan ketiadaan Forkey Doe, Irfan juga tidak menolak kemungkinan menggandingkan Amri Yahyah dan Mohd. Ramzul Zahini Adnan bagi merobek gawang East Bengal malam ini.

“Saya juga berharap beberapa pemain yang baru pulih daripada kecederaan seperti Mohd. Raimi Mohd. Nor dan Mohd. Fitri Shazwan Radu- wan mampu membantu kami membawa pulang tiga mata,” katanya.
Untuk rekod, Selangor yang tumpas 0-1 kepada East Bengal dalam aksi pembuka tirai kumpulan pada 27 Februari lalu kini mengutip empat mata selepas empat perlawanan.

Mereka bakal menutup tirai kumpulan berdepan pasukan tercorot, Tampines Rovers di Stadium Jalan Besar, Singapura pada 30 April ini.

Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my

Tiada ulasan:

Catat Ulasan