LONDON - Arsene Wenger menyelar tindakan Steve Sidwell yang melakukan
terjahan keras sehingga dilayangkan kad merah dalam kejayaan 1-0
Arsenal ke atas Fulham kelmarin.
Sidwell akan terlepas baki empat perlawanan musim ini bersama Fulham
selepas diperintah keluar padang buat kali kedua dalam dua
penampilannya.
Bekas perancang Arsenal yang turut dilayangkan kad merah tiga minggu
lalu, melakukan terjahan keras ke atas Mikel Arteta pada minit ke-12
dalam pertemuan di Craven Cottage itu.
The Gunners juga terpaksa bermain dengan 10 orang pada masa
kecederaan setelah Olivier Giroud dibuang padang kerana mengasari
Stanislav Manolev.
Wenger enggan memberi komen mengenai Giroud, namun beliau jelas
sekali berang dengan tindakan Sidwell yang boleh mendatangkan kecederaan
serius kepada Arteta.
"Saya rasa pengadil sedar dia memang tiada pilihan selain memberi kad merah kepada Sidwell," kata Wenger.
"Kita akan lihat (keadaan Arteta). Dia tetap bermain selepas terjahan
itu. Saya tidak tahu setakat mana kecederaannya selepas terjahan keras
tersebut.
"Saya tidak tahu sama ada buku lalinya terseliuh atau tidak. Dalam insiden seperti ini, kecederaan boleh berlaku tanpa disedari.
"Kalau kamu kuatkan kaki kamu ketika terjahan keras itu, kaki kamu
boleh patah. Kalau kamu kurangkan sedikit, kecederaan kamu tidak akan
serius," katanya.
Kejayaan Arsenal hasil tandukan pertahanan Jerman, Per Mertesacker
pada minit ke-43 menyaksikan tekanan dalam pemburuan dua slot Liga
Juara-Juara musim depan kini terarah kepada Chelsea dan Tottenham
Hotspur.
"Kami masih berada di landasan terbaik.
"Kami akan turun pada aksi seterusnya dan fokus untuk memenanginya.
"Kami tahu kami akan bertemu Manchester United selepas ini, jadi ia
satu cabaran yang bagus bagi kami tetapi sudah tentu kami mahu
memenanginya," jelasnya. - Agensi
Tiada ulasan:
Catat Ulasan